MIRI: Seramai 19 peserta dari Kota Kinabalu, Kuching dan Miri menyertai pertandingan Latte Art Throwdown yang berlangsung di Pavilion, Taman Bulatan, malam Ahad.
Acara berkenaan menjadi kemuncak penutup Brew and Bake Festival 2026 yang diadakan selama dua hari bermula 2 hingga 3 Mei, sekali gus menonjolkan kreativiti serta kemahiran barista muda dari seluruh Borneo.
Majlis tersebut disempurnakan Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan), Chia Kah Furng yang mewakili Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan rasa gembira melihat penyertaan aktif golongan muda dalam festival tersebut, khususnya usahawan yang mempamerkan kreativiti dalam perniagaan makanan dan minuman sepanjang dua hari penganjuran.
"Acara seperti ini bukan sekadar mengenai kopi, tetapi merupakan satu perjalanan peningkatan diri yang melibatkan pembelajaran kemahiran, penambahbaikan teknik serta usaha berterusan untuk mencapai standard yang lebih tinggi," katanya.
Beliau turut memuji penganjuran pertandingan barista yang memperlihatkan kehebatan peserta dalam penyediaan kopi dan persembahan latte art di hadapan juri profesional yang disifatkan sebagai satu nilai tambah kerana mereka bukan sahaja menilai, malah berkongsi ilmu serta pengalaman dengan barista tempatan.
Tambahnya, walaupun penganjuran kali ini merupakan edisi pertama dan berskala sederhana, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan penglibatan belia yang tinggi serta potensi besar untuk dikembangkan pada masa hadapan. -EDISI UKAS