![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
Dadah merupakan bahan kimia yang boleh mengupayakan perubahan dalam fisiologi atau psikologi organisma apabila diambil.
Dalam bidang perubatan kesan biologi boleh dikesan apabila dadah digunakan untuk mengubat, merawat, atau mengelak penyakit. Di samping itu, keadaan mental atau fizikal juga boleh berubah apabila dadah digunakan.
Inilah sebabnya, sering dinasihatkan agar penggunaan dadah memerlukan nasihat doktor atau perhatian golongan professional perubatan terlebih dahulu dan tidak boleh diambil secara sewenang-wenangnya. Lazimnya dadah digunakan dalam perubatan untuk tujuan pengurusan kesihatan.
Punca kemudaratan
Ada juga dalam kalangan segelintir manusia yang mengambil dadah untuk tujuan keseronokan, dan ada yang memilih bahan kimia itu untuk mengubah kesedaran.
Dalam hal ini pengambilan dadah di luar kawalan berpotensi memungkinkan ketagihan, yang boleh memuncak dan mengakibatkan kemudaratan, baik kepada diri sendiri, mahupun terhadap orang lain mahupun persekitaran.
Ada bentuk dadah yang dikategorikan sebagai stimulan, yakni bertujuan untuk merangsang kewaspadaan serta tenaga. Antara contoh jenis dadah untuk tujuan ini termasuk kafein dan kokain. Ada pula jenis dadah diambil untuk memperlahankan kegiatan otak yang agak merancak, seperti alkohol dan benzodiazepines, yang dikategorikan sebagai depressants.
Jenis dadah yang berupaya mengubah persepsi atau angin seseorang dikategorikan sebagai dadah hallucinogens, seperti dadah jenis LSD, atau psilocybin. Dadah-dadah jenis morfin, fentanyl dan seumpamanya, dikategorikan sebagai opioids, digunakan untuk melegakan kesakitan yang, jika disalahgunakan, berkemungkinan mengakibatkan euphoria (rasa sangat gembira, yang melampau).
Dadah, sama ada jenis yang sah mahupun yang diharamkan, membawa risiko kebergantungan, terutama sekali apa kala digunakan secara melebihi dos, dan berpotensi mengancam isu-isu berkaitan kesihatan. Inilah perbuatan-perbuatan yang diistilahkan sebagai penyalahgunaan dadah.
Dadah dianggap sah dari sisi undang-undang bagi jenis yang boleh diperolehi dari kaunter perubatan, termasuklah dari institusi farmasi awam atau swasta kerana pengeluaran jenis ini adalah seperti yang dideskripsikan oleh pihak berwenang.
Dadah dianggap haram bagi jenis yang dikategorikan sebagai bahan terkawal, namun pengharaman itu sering tidak diendahkan.Semakin tidak diendahkan semakin itulah peraturan diketatkan ke atas pengeluaran dan peredarannya.
Menyusut nilai kemanusiaan
Apabila dadah digunakan sehingga ke tahap melampaui had normal, kesan sampingannya boleh mendorong si penggunanya melakukan perbuatan di luar kawalannya, sehingga tergamak melakukan kegiatan jenayah.
Atas perkiraan perbuatan demikianlah dadah dan jenayah disinonimkan dengan punca ancaman terhadap pembangunan masyarakat.
Tahap khayalan akibat pengambilan bahan dadah yang melampau berupaya mewujudkan keadaan kehilangan kerasionalan.
Perbuatan merompak, menyamun dan membunuh boleh dilakukan tanpa wujud sekelumit pun perasaan bersalah kerana sudah hilang naluri simpati. Perdagangan haram iaitu melibatkan pengambilan dadah di merata dunia kini sudah dianggar mencecah nilai matawang global melebihi 3 billion dolar setiap tahun.
Ia sudah memuncak menjadi ekonomi sejajar yang melorong kepada jenayah terancang, rasuah, keganasan, dan ketidakselamatan, sering menterbalikkan perolehan pembangunan dalam bidang-bidang yang kurang kental sehingga boleh menjejaskan kepercayaan dan kestabilan dalam masyarakat.
Kegiatan-kegiatan berhubung kait dengan pengambilan, penyeludupan dan pengedaran dadah secara haram menjejas tahap produktiviti, menyumbang kepada wujudnya keadaan kehilangan pekerjaan sehingga mengakibatkan kurangnya nilai-nilai murni kemanusiaan.
Semua bentuk kos dari kegiatan penangkapan, pendakwaan, dan pemenjaraan meletakkan beban yang bukan kepalang bagi kerajaan di mana pun di muka bumi ini.
Kesemua ini memesongkan semua bentuk sumber dari penyaluran terhadap keperluan-keperluan kritikal seperti prasarana dan pendidikan.
Apabila wujud gejala penyalahgunaan dadah secara berleluasa, yang sering berlaku dalam senario merebaknya kegiatan penyeludupan yang melepasi kawalan, maka wujud juga isu keselamatan dan kestabilan sosial.
Akibatnya meningkatlah statistik jenayah ganas seperti pembunuhan, rompakan dan samun yang menyebabkan ketakutan serta menimbulkan ketidaktentraman dalam kerangka kejiranan.
Penutup
Dadah dan jenayah bukan sekadar isu sosial yang terpisah, tetapi ancaman nyata yang menghakis asas pembangunan masyarakat secara menyeluruh. Ia merencat potensi generasi muda, melemahkan institusi keluarga dan menjejaskan kesejahteraan komuniti. Jika tidak ditangani secara bersepadu dan berterusan, implikasinya bukan sahaja dirasai pada hari ini, malah akan membebankan masa depan negara.
Menangani cabaran ini menuntut komitmen kolektif daripada semua pihak kerajaan, agensi penguatkuasaan, institusi pendidikan, komuniti dan setiap individu. Usaha pencegahan, pendidikan serta penguatkuasaan perlu digerakkan seiring, berteraskan nilai integriti, kesedaran dan tanggungjawab bersama. Hanya melalui pendekatan yang menyeluruh dan konsisten, kita mampu membendung penularan gejala ini daripada terus berakar dalam masyarakat.
Justeru, masa depan pembangunan masyarakat bergantung kepada sejauh mana kita berani bertindak dan teguh mempertahankan nilai yang benar. Apabila setiap lapisan masyarakat memainkan peranan dengan penuh kesedaran dan keprihatinan, kita bukan sahaja mampu mengekang ancaman ini, malah membina sebuah masyarakat yang lebih selamat, sejahtera dan bermaruah.