![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
Naratif kesihatan mesti merangkumi kesejahteraan fisikal dan mental yang berimbangan dengan latar kesejahteraan sosial dan juga kerohanian.
Hal ini penting untuk memaknakan kemajuan yang cuba dicapai menerusi prestasi cemerlang dengan keupayaan sektor-sektor berpotensi tinggi, selain dasar-dasar pelaburan yang liberal.
Produktiviti boleh terjejas jika usaha untuk mencapai kemajuan terganggu oleh masalah kesihatan.
Wellness Hub
Menyedari hakikat itu Kementerian Kesihatan Malaysia ada mewujudkan satu inisiatif yang dinamakan Wellness Hub yang berfungsi sebagai pusat sehenti bagi pelbagai program kesihatan dan promosi gaya hidup sihat, termasuk pemeriksaan kesihatan, bengkel nutrisi, aktiviti senaman, serta sokongan mental seperti kaunseling dan sesi kesedaran stres.
Ia juga bertujuan untuk mencegah penyakit disebabkan amalan cara hidup tidak sihat.
Di seluruh negara telah dirancangkan sejumlah 38 Wellness Hub dibangunkan termasuk di Kota Samarahan dan Sibuti (Sarawak), Keningau dan Tawau (Sabah), selain di Batu Pahat, Johor Bahru, Kuala Selangor, Perlis, Kedah, dan Terengganu.
Sebagai contoh, ada inisiatif proaktif memerangi obesiti dan membudayakan gaya hidup sihat di Wellness Hub Kota Samarahan yang merupakan yang pertama di Sarawak, yang sudah pun beroperasi, selain Wellness Hub di Jalan Melor, Bekenu dalam kawasan Parlimen Sibuti, dan sebuah lagi bakal dibina di Betong.
Memetik kata-kata Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Zulkefly Ahmad: "Aset seumpama Wellness Hub ini adalah jauh lebih berharga daripada 150 hospital dan lebih 3,000 klinik kesihatan."
Penuaan sihat
Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) mempunyai program-program bagi mempromosi penuaan sihat untuk golongan warga emas, yang mencerminkan komitmen kukuh dan bersepadu dalam memastikan golongan emas sentiasa mendapat maklumat tepat berkaitan isu kesihatan, sokongan berterusan di samping pemerkasaan untuk menjalani proses penuaan dengan penuh maruah, keyakinan dan berdikari.
Program ini melibatkan pemakanan seimbang seperti makanan yang kandungannya tinggi serat, serta rendah kadar gula dan garam; senaman ringan berkala melibatkan kegiatan seperti yoga dan berjalan; penjagaan mental; tidur yang cukup; dan sokongan sosial yang kuat untuk meningkat kualiti hidup warga emas.
Ini menunjukkan keprihatinan pihak kerajaan dalam memastikan generasi tua juga mendapat pembelaan sewajarnya, ibarat penjagaan kesihatan dan kebajikan dari seawal ketika manusia masih baru wujud dalam rahim ibu lagi sehingga ke tahap sebelum jasad manusia dibawa ke liang lahad.
Kesihatan kerohanian
Kesihatan kerohanian merujuk kepada keseimbangan emosi dan jiwa melalui kepercayaan kepada kuasa tertinggi seperti yang terkandung dalam ajaran agama masing-masing.
Ini penting untuk ketenangan hati dan ketenteraman emosi demi mencapai kesejahteraan kehidupan di dunia sebelum menemui ajal maut.
Dalam kehidupan seharian yang setiap individu lalui, pasti menghadapi tekanan atau musibah.
Hanya manusia yang berupaya menegakkan kesihatan kerohanian dapat menikmati makna kehidupan di dunia nyata ini sambil memperlakukan persiapan untuk persediaan bekalan bagi hidup di alam kemudian.
Asas produktiviti
Tubuh, minda dan jaringan sosial yang sihat merupakan asas bagi komuniti yang berdaya tahan dan produktif.
Di Malaysia, sasaran menjelang tahun 2030, termasuklah hasrat agar negara mencapai dan mengekalkan penubuhan pendapatan secara berperingkat di kalangan B40 pada kadar lebih tinggi dari purata nasional.
Kita ingin memperkasakan dan merangsang kemasukan sosial, ekonomi dan politik bagi semua.
Penutup
Membina masyarakat yang sihat dan produktif bukan sekadar tanggungjawab sektor kesihatan semata-mata, tetapi memerlukan kesedaran dan komitmen bersama daripada seluruh lapisan masyarakat. Kesihatan fizikal, mental dan sosial yang seimbang merupakan asas penting dalam membentuk individu yang berdaya tahan, berdisiplin dan mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara.
Dalam mendepani cabaran kehidupan moden, amalan gaya hidup sihat perlu dijadikan budaya, bukan sekadar pilihan sementara. Pemakanan seimbang, aktiviti fizikal yang konsisten serta pengurusan tekanan yang baik harus dipupuk sejak awal dan diperkukuh dalam setiap peringkat kehidupan. Di sinilah terletaknya peranan keluarga, komuniti dan institusi dalam membentuk persekitaran yang menyokong kesejahteraan bersama.
Pada masa yang sama, produktiviti yang mampan hanya dapat dicapai apabila kesejahteraan individu diberi keutamaan. Tenaga kerja yang sihat bukan sahaja meningkatkan kecekapan dan daya saing, malah memperkukuh kestabilan sosial dan ekonomi. Oleh itu, pelaburan dalam kesihatan bukanlah suatu kos, tetapi merupakan langkah strategik ke arah masa depan yang lebih sejahtera.
Justeru, usaha ke arah membina masyarakat yang lebih sihat dan produktif menuntut tindakan yang berterusan dan kesungguhan yang tulus. Apabila setiap individu menghayati kepentingan kesihatan sebagai keutamaan hidup, maka akan terbinalah sebuah masyarakat yang bukan sahaja maju dari segi pembangunan, tetapi juga seimbang, berdaya tahan dan produktif.