Kerajaan Sarawak Sedia Perkukuh Aset JPBB Miri Hadapi El Niño
MIRI: Kerajaan Sarawak bersedia membantu agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri mendapatkan aset diperlukan bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi impak fenomena El Niño yang dijangka membawa cuaca panas dan kemarau bermula Jun hingga Ogos ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menyatakan sokongan termasuk penyediaan peruntukan bagi tujuan tersebut.
“Kita akan meneliti kos pembelian termasuk aspek penyelenggaraan bagi memastikan kelancaran dan keberkesanan operasi secara berterusan,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBB) Bahagian Miri Musim Kemarau, Cuaca Panas Dan Bencana Kebakaran Tanah Gambut di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Miri pada Isnin.
Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) beliau diberi taklimat oleh agensi-agensi berkaitan mengenai situasi semasa serta langkah kesiapsiagaan menghadapi impak El Niño, termasuk risiko kebakaran terbuka dan pengurusan sumber air di kawasan terjejas.
Dalam taklimat tersebut, wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan memerlukan aset tambahan termasuk hos pemadaman dan pengangkut air bagi membantu keupayaan operasi terutama ketika berlaku kebakaran berskala besar.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memaklumkan bahawa fasa peralihan monsun dijangka berlarutan sehingga Mei, dengan keadaan cuaca panas dan pengurangan taburan hujan dijangka lebih ketara bermula Jun hingga Ogos.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Sibuti Dato Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju Dato Majang Renggi, ADUN Pujut Adam Yii Siew Sang serta Residen Bahagian Miri Galong Luang. -EDISI UKAS