Persiapan Sarawakku Sayang Bintulu Diperhalusi, Tinjauan Lokasi Utama Dipergiat
BINTULU: Persiapan bagi Program Sarawakku Sayang (SKS) di Bintulu terus diperhalusi menerusi lawatan kerja Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan ke beberapa lokasi utama, di sini, pada Isnin.
Beliau diiringi Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti meninjau kesesuaian venue program yang dijadual berlangsung dalam masa terdekat.
Lawatan dimulakan di Tanjung Batu bagi meninjau lokasi penganjuran aktiviti brisk walk santai yang dijangka disertai oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Tinjauan memberi fokus kepada aspek keselamatan, kesesuaian laluan serta kemudahan untuk peserta.
Seterusnya, Datu Felicia berkunjung ke tapak utama Program Sarawakku Sayang yang bertempat di Lapangan Terbang Lama Bintulu bagi meninjau keadaan venue SKS tersebut.
Lawatan diteruskan dengan menghadiri mesyuarat penyelarasan Program Sarawakku Sayang yang melibatkan pelbagai agensi berkaitan.
Mesyuarat tersebut bertujuan memperincikan pelaksanaan program serta memastikan setiap aspek dirancang dengan teliti. -EDISI UKAS