Bernama Hasrat Terbitkan Coffee Table Book Mengenai Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi
KUCHING: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berhasrat untuk menerbitkan sebuah 'coffee table book' khas mengenai perjalanan hidup Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Hasrat tersebut disampaikan dalam kunjungan hormat pengurusan tertinggi Bernama yang diketuai Pengerusi, Datuk Seri Wong Chun Wai bersama Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin ke Astana Negeri Sarawak, di sini, pada Selasa.
Dalam pertemuan itu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut berkongsi beberapa buku hasil penulisannya.
Sebagai seorang penulis, beliau telah menghasilkan beberapa buku, termasuk 'Evolusi Parlimen dan Evolusi Speaker Parlimen Malaysia Edisi Ketiga' yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 15 Januari 2024.
Selain itu, buku 'The 365 Days in Astana: Kisah dan Potret Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar' bukan sekadar koleksi gambar, tetapi merupakan naratif yang merakamkan intipati tanggungjawab, rasa hormat dan dedikasi beliau sepanjang memegang jawatan tersebut.
Antara karya lain termasuk 'A Policeman' yang menceritakan pengalaman mempertaruhkan nyawa dalam beberapa siri operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara di Miri, Sibu dan Kapit ketika beliau berkhidmat bersama Pasukan Polis Hutan, sekali gus mencerminkan semangat patriotisme beliau dalam tempoh sukar negara.
Kunjungan hormat tersebut turut dihadiri Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Bernama Sharifah Zaini Syed Zain, Ketua Jabatan Komersial Bernama Mastura Hassan, Pengurus Pemasaran Foto, Bahagian Perkhidmatan, Langganan dan Jabatan Komersial Bernama Fariz Rizal Madzri serta Ketua Biro Bernama Sarawak, Ammar Syafiq Hamzah. -EDISI UKAS