UKAS Sedia Berkolaborasi Bersama Bernama Anjur Sukan SEA, PRN
KUCHING: KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bersedia untuk berkolaborasi bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) khususnya dalam persediaan menghadapi Sukan SEA 2027 serta Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, kerjasama strategik itu penting dalam memastikan penyampaian maklumat yang lebih berkesan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan petugas media di negeri ini.
Menurutnya, pengalaman luas Bernama sebagai agensi media nasional dapat dimanfaatkan melalui perkongsian ilmu, latihan dan bengkel kepada wartawan, khususnya dalam menghadapi liputan acara berskala besar seperti Sukan SEA.
"Lebih-lebih lagi apabila kita bakal menghadapi Sukan SEA yang akan datang kerana kita akui bahawa UKAS walaupun telah mempunyai pengalaman mengurus media di peringkat SUKMA sebelum ini, namun Sukan SEA merupakan satu medan yang berbeza.
"Justeru, kami amat menghargai keinginan Bernama untuk mengadakan beberapa program perkongsian pengalaman dan ilmu supaya warga kerja UKAS lebih bersedia apabila Sukan SEA diadakan kelak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas kunjungan hormat Bernama di Bangunan Baitulmakmur 1, Petra Jaya, pada Selasa.
Tambahnya, kerjasama tersebut bukan sahaja tertumpu kepada liputan sukan, malah turut melibatkan persediaan menghadapi pilihan raya serta program-program lain pada masa akan datang.
Katanya, perkongsian maklumat antara kedua-dua agensi ini amat penting mengambil kira keluasan Sarawak yang sukar dikunjungi oleh wartawan dalam masa yang singkat.
Malah beliau percaya pengalaman luas Bernama dalam mengendalikan acara sukan besar di Kuala Lumpur dan tempat lain dapat dimanfaatkan oleh UKAS untuk memastikan penyampaian berita yang lebih efisien dan menyeluruh.
"Wartawan-wartawan boleh mengikuti kursus, latihan atau bengkel bersama rakan media dari Sarawak, bukan hanya UKAS, bagi memahami gerak kerja serta cara pelaporan semasa Sukan SEA berlangsung di Sarawak," jelasnya.
Selain Bernama, UKAS katanya juga akan bekerjasama dengan platform media yang lebih besar seperti RTM dan agensi lain dalam mengurus pusat media serta kehadiran wartawan luar melibatkan aspek logistik seperti penginapan, kemudahan tempat bekerja, capaian internet yang baik, pengangkutan awam, tempat makan dan pelbagai lagi.
Jelasnya lagi, ini perlu dipelajari oleh UKAS atau kementerian yang berkaitan melalui agensi yang berpengalaman mengendalikan acara sukan berskala besar sebelum ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Bernama Sharifah Zaini Syed Zain, Ketua Jabatan Komersial Bernama Mastura Hassan, Pengurus Pemasaran Foto, Bahagian Perkhidmatan, Langganan dan Jabatan Komersial Bernama Fariz Rizal Madzri serta Ketua Biro Bernama Sarawak Ammar Syafiq Hamzah. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery