Bernama Perkukuh Kerjasama Dengan UKAS, Sediakan Kepakaran Dalam Kewartawanan
KUCHING: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berhasrat memperkukuh kerjasama strategik bersama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dengan menawarkan kepakaran dalam bidang kewartawanan khususnya menjelang penganjuran Sukan SEA 2027 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata, kunjungan hormat ke UKAS menjadi platform penting untuk mempererat hubungan sedia ada serta meneroka peluang kerjasama lebih luas antara kedua-dua agensi.
Ujarnya, Bernama mempunyai kepakaran dalam bidang kewartawanan untuk melaksanakan liputan dan sebagainya, seperti yang telah dilakukan semasa Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak pada tahun lalu.
"Pengalaman kami sebagai pengendali pusat media antarabangsa semasa ASEAN dan beberapa acara utama negara sebelum ini membolehkan kami berkongsi pengalaman serta kepakaran dalam aspek tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol di Pejabat UKAS, Bangunan Baitulmakmur, di sini, pada Selasa.
Ujarnya, kunjungan hormat tersebut juga membincangkan banyak perkara yang dikongsi bersama terutamanya melibatkan pelbagai kursus melibatkan wartawan di Sarawak serta beberapa program yang memerlukan kerjasama antara UKAS dan Kerajaan Sarawak.
Justeru, Datin Paduka Nur-ul Afida berharap kerjasama ini akan dapat direalisasikan ke peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery