1,681 Penerima Bantuan Di Bintulu Terima Sumbangan Khas Sempena Gawai
BINTULU: Seramai 1,681 penerima bantuan kebajikan di Bahagian Bintulu menerima sumbangan khas sempena Program Sejambak Kasih Hari Gawai 2026.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi berkata, program anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu bertujuan membantu golongan memerlukan termasuk B40 dan warga emas dalam membuat persiapan menyambut perayaan.
“Pada tahun ini, seramai 1,681 penerima bantuan bulanan kebajikan di Bahagian Bintulu akan menerima sumbangan khas melibatkan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM161,100,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut di Commerce Square Mall pada Selasa.
Menurutnya, pada majlis berkenaan, seramai 100 penerima hadir secara simbolik bagi menerima sumbangan wang tunai tambahan RM100 serta hamper tajaan Petronas.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju berkata, bantuan itu diharap dapat meringankan beban kewangan penerima, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Dalam pada itu, Datuk Majang berkata, Bahagian Bintulu merekodkan seramai 2,843 penerima bantuan bulanan pada April 2026 dengan peruntukan sebanyak RM1.24 juta.
“Bagi tempoh Januari hingga April 2026 pula, jumlah keseluruhan perbelanjaan yang disalurkan adalah sekitar RM5 juta,” katanya.
Tegas beliau, kerajaan akan terus komited memastikan kebajikan rakyat terpelihara dan tiada golongan tercicir daripada menerima bantuan sewajarnya.
Pada masa sama, Datuk Majang merakamkan penghargaan kepada PETRONAS atas sumbangan berterusan sebagai rakan strategik dalam pelbagai inisiatif kebajikan.
Majang turut mengingatkan orang ramai agar mengutamakan keselamatan jalan raya ketika pulang ke kampung halaman sempena sambutan Hari Gawai.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengurus Besar PETRONAS Sarawak, Norazibah Md Rabu, Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bolhan dan Pegawai Pembangunan Masyarakat, Jemat Kanchin.-EDISI UKAS