Persidangan Hari Bidan Antarabangsa 2026 Perkukuh Kerjasama Tingkat Kesihatan Ibu Dan Anak
MIRI: Persidangan Hari Bidan Antarabangsa 2026 (IMDC 2026) bertemakan “One Million More Midwives” menghimpunkan seramai 561 peserta termasuk tiga wakil dari Brunei di Imperial Hotel, di sini, pada Selasa.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, peranan bidan amat penting dalam sistem penjagaan kesihatan, bukan sahaja sebagai penjaga kesihatan, malah sebagai rakan sokongan utama kepada wanita sepanjang proses kehamilan dan kelahiran.
"Cabaran seperti pengurangan kadar kematian ibu dan bayi memerlukan pendekatan kolaboratif yang berterusan.
"Malaysia dijangka menjadi negara menua menjelang tahun 2030, sekali gus menjadikan peranan bidan semakin signifikan bukan sahaja dalam proses kelahiran, tetapi juga dalam aspek kesihatan reproduktif, perancangan keluarga dan kesejahteraan wanita secara menyeluruh," katanya.
Menyentuh konteks Sarawak, Dato Sri Lee berkata cabaran geografi seperti kawasan pedalaman yang luas dan penempatan terpencil memerlukan bidan memainkan peranan sebagai penyedia utama perkhidmatan kesihatan ibu.
Di kawasan seperti Kapit dan Baram, bidan sering perlu meredah sungai dan laluan darat yang mencabar untuk sampai kepada pesakit.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur jalan raya, sistem pengangkutan yang cekap serta akses kecemasan adalah penting dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkesan. -EDISI UKAS