HDC Tegas Tiada Agen Jual Rumah RMM Ranggau Valley, Orang Ramai Diminta Waspada Penipuan
KUCHING: Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah melantik mana-mana agen bagi urusan penjualan unit rumah di Projek RMM Ranggau Valley, Limbang.
Menurut kenyataan media HDC pada Selasa, rumah-rumah di projek tersebut diperuntukkan khusus kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat dalam pemindahan dari RPR Limbang III (Ranggau), melibatkan seramai 127 penerima yang layak.
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan mana-mana pihak yang menawarkan penjualan unit rumah berkenaan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
HDC menegaskan bahawa sebarang urusan berkaitan pemilikan atau pengagihan unit rumah hanya dilaksanakan melalui saluran rasmi agensi tersebut.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Seksyen Pemasaran HDC di talian 082-443741 atau melayari laman sesawang rasmi di www.hdc.sarawak.gov.my.
Langkah penegasan ini mencerminkan komitmen HDC dalam memastikan ketelusan serta melindungi kepentingan rakyat daripada sebarang aktiviti penipuan berkaitan perumahan. -EDISI UKAS