CCTV Pintar AI RM300,000 Perkukuh Keselamatan Awam Di Batu Kitang
KUCHING: Usaha memperkukuh keselamatan awam di Batu Kitang dipertingkat menerusi pelaksanaan sistem CCTV Pintar berteknologi kecerdasan buatan (AI) bernilai RM300,000 yang kini beroperasi sepenuhnya dan diintegrasikan dengan pusat pemantauan negeri.
Projek di bawah Majlis Perbandaran Padawan (MPP) itu melibatkan pemasangan 18 unit kamera CCTV beresolusi tinggi 8MP yang dilengkapi teknologi inframerah, Wide Dynamic Range serta ciri kalis cuaca IP67, sekali gus membolehkan pemantauan lebih jelas dalam pelbagai keadaan persekitaran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang berkata, sistem tersebut mampu meningkatkan keupayaan pengawasan keselamatan termasuk pengesanan nombor plat kenderaan serta pemantauan pergerakan trafik secara lebih efisien.
“Pelaksanaan ini merupakan langkah penting dalam mengurangkan kadar jenayah, khususnya di kawasan tumpuan seperti Jalan Arang, Jalan Dogan dan Pasar Batu 3,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan penyerahan cek replika berjumlah RM300,000 kepada Jurutera MPP, Chang Wei Yong sebagai simbolik pelaksanaan projek berkenaan pada Selasa.
Selain pemasangan kamera, projek ini turut merangkumi sistem komunikasi wireless point-to-point (PtP), suis rangkaian Industrial PoE, perlindungan lonjakan arus serta infrastruktur rangkaian bagi memastikan penghantaran data yang stabil.
Kesemua sistem ini diintegrasikan ke ‘Sarawak Integrated Operations Centre’ (SIOC), membolehkan pemantauan keselamatan awam dilakukan secara masa nyata.
Menurut beliau, penggunaan kepakaran tempatan Sarawak dalam pembangunan sistem ini turut memudahkan aspek operasi dan penyelenggaraan jangka panjang.
Dalam pada itu, beliau menggesa masyarakat setempat untuk memainkan peranan aktif melalui inisiatif Jawatankuasa Keselamatan Komuniti atau Neighbourhood Watch dalam menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan.
“Teknologi sahaja tidak mencukupi tanpa kerjasama masyarakat. Penduduk perlu bersama-sama memastikan keselamatan kawasan sentiasa terpelihara,” ujarnya. -EDISI UKAS