RM236,000 Naik Taraf Dewan Kampung Kepayang, Perkukuh Pusat Komuniti Luar Bandar
GEDONG: Komitmen memperkasa kemudahan luar bandar terus diperkukuh apabila projek naik taraf Dewan Kampung Kepayang bernilai keseluruhan RM236,000 berjaya disiapkan, sekali gus meningkatkan fungsi dewan sebagai pusat aktiviti masyarakat setempat.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee menyaksikan penyerahan rasmi projek tersebut daripada kontraktor kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kepayang dalam satu majlis di kampung berkenaan.
Projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 itu melibatkan peruntukan asal RM200,000 dengan tambahan RM36,000 bagi kerja-kerja elektrik, dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya sebagai agensi pelaksana.
Skop pelaksanaan merangkumi pembinaan tandas awam, tandas VIP, bilik mandi, penambahan awning serta kerja konkrit lantai di bahagian luar dewan, selain pemasangan sistem pendawaian, lampu dan kipas di bahagian sambungan dewan.
Menurut Rodiyah, projek tersebut merupakan keutamaan memandangkan dewan berkenaan menjadi pusat utama penganjuran pelbagai program kemasyarakatan, aktiviti pembangunan serta perhimpunan penduduk.
“Dewan ini kini lebih lengkap, selesa dan selamat untuk digunakan, bukan sahaja oleh penduduk Kampung Kepayang tetapi turut memberi manfaat kepada beberapa kampung berhampiran,” katanya pada Selasa.
Beliau turut menegaskan kepentingan mempercepatkan kerja-kerja susulan, khususnya pemasangan elektrik, agar kemudahan tersebut dapat digunakan sepenuhnya sebelum sambutan Hari Gawai.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan perbincangan telah diadakan bersama pihak pelaksana serta Pejabat Pembangunan Sarawak bagi memastikan kelancaran pelaksanaan fasa seterusnya.
Pelaksanaan projek ini dijangka memberi impak besar kepada komuniti setempat dengan menyediakan ruang yang lebih kondusif untuk penganjuran program belia, majlis keluarga serta aktiviti sosial. -EDISI UKAS