RM50,000 Siap Susur Gajah SK Kepayang, Tingkat Keselesaan Murid dan Guru
GEDONG: Kemudahan pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kepayang terus diperkasa apabila projek pembinaan struktur berbumbung pejalan kaki atau susur gajah bernilai RM50,000 berjaya disiapkan, sekali gus meningkatkan keselesaan warga sekolah.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata projek tersebut dilaksanakan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO) sebagai agensi pelaksana di bawah peruntukan Persekutuan.
Menurut beliau, pembinaan susur gajah itu amat signifikan memandangkan kedudukan bangunan dan bilik darjah di sekolah berkenaan yang terpisah antara satu sama lain.
“Kemudahan ini memudahkan pergerakan guru dan murid serta memberi keselesaan, khususnya ketika cuaca hujan atau panas,” katanya ketika ditemui pada sesi serah siap projek di sekolah berkenaan, pada Selasa.
Beliau turut memaklumkan bahawa SK Kepayang merupakan Sekolah Kurang Murid (SKM) dengan jumlah pelajar sekitar 50 orang, namun tetap diberi perhatian dalam aspek pembangunan kemudahan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan cadangan menaik taraf sekolah berkenaan telah dikemukakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk pertimbangan lanjut.
“Saya telah meninjau sendiri keadaan sekolah dan mendapati terdapat beberapa aspek yang memerlukan perhatian segera,” jelasnya.
Tambah beliau, usaha akan terus dipergiat bagi memastikan kemudahan pendidikan di kawasan Parlimen Batang Sadong sentiasa berada pada tahap terbaik serta mengelakkan kewujudan sekolah daif di luar bandar.
Turut hadir, Penolong Jurutera Awam SDO Wan Kasyfurrahman Wan Danol dan Guru Besar SK Kepayang Eda Obeng. -EDISI UKAS