Debak Fest 2026 Tawar Pelbagai Aktiviti, Persembahan Artis
DEBAK: Debak Fest 2026 bakal memeriahkan kawasan Debak menerusi penganjuran pelbagai aktiviti, jualan dan persembahan hiburan selama lima hari bermula 11 hingga 15 November ini di Riviera Sport Centre, Debak.
Dianjurkan oleh Pejabat Daerah Kecil Debak dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN N.35 Saribas, festival itu dijangka menjadi tarikan kepada masyarakat setempat serta pengunjung dari kawasan sekitar.
Antara pengisian utama ialah persembahan artis jemputan yang menampilkan Mamat Exist dan Eisner Nala pada 13 November, diikuti Zah Amirul, Yabang Khalifa serta Christal Natalie pada 14 November.
Selain itu, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai jualan makanan dan minuman, aktiviti rekreasi serta menyertai cabutan bertuah yang menawarkan lima baucar barangan runcit bernilai RM100 setiap satu dan dua baucar penginapan hotel untuk satu malam.
Tiket cabutan bertuah boleh didapati di Pejabat Daerah Kecil Debak.
Dalam masa sama, festival berkenaan turut menyediakan peluang kepada peniaga tempatan untuk memasarkan produk dan perkhidmatan menerusi penyediaan tapak jualan sepanjang acara berlangsung.
Sebanyak dua kategori tapak ditawarkan iaitu Kategori A pada harga RM900 dengan kemudahan kanopi bersaiz 20 kaki x 20 kaki serta satu soket elektrik, manakala Kategori B berharga RM250 dengan kemudahan satu soket elektrik dan peniaga perlu menyediakan kanopi sendiri bersaiz 10 kaki x 10 kaki.
Peniaga yang berminat boleh menghubungi Pegawai Seranta, Kelana Saruji menerusi talian 013-560 8243 untuk maklumat lanjut dan urusan pendaftaran.
Penganjuran Debak Fest 2026 diharap dapat merancakkan aktiviti ekonomi setempat, khususnya dengan membuka ruang kepada peniaga tempatan untuk menjana pendapatan, selain menyediakan platform interaksi dan hiburan kepada komuniti.
Orang ramai dijemput hadir bersama keluarga dan rakan-rakan bagi memeriahkan festival tersebut yang berlangsung dari 11 hingga 15 November ini.-EDISI UKAS