Dari Bristol Ke Sarawak: Data, AI & Tenaga Jadi Formula Ekonomi Baharu
BRISTOL: Sarawak mengorak langkah lebih agresif untuk muncul sebagai hab ekonomi berasaskan data dan kecerdasan buatan (AI) serantau dengan memanfaatkan kelebihan tenaga boleh diperbaharui serta memperluas kerjasama strategik bersama University of Bristol.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, lawatan kerja ke United Kingdom khususnya di Bristol membuka dimensi baharu dalam pembangunan industri masa depan melibatkan AI, aeroangkasa dan keupayaan pengkomputeran berprestasi tinggi.
"Ya, tadi kita ada perbincangan dengan pihak University of Bristol mengenai dengan beberapa sektor di dalam industri aeroangkasa dan juga kuasa pengkomputeran yang ada di universiti ini dalam mereka hendak membuat kajian dan penyelidikan mengenai dengan masa depan industri AI dan juga industri aeroangksa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui UKAS dan TVS selepas sesi libat urus Semikonduktor Sarawak yang dianjurkan bersama oleh SMD Semiconductor dan University of Bristol di NCC, Bristol pada Selasa waktu tempatan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, penggunaan data sebagai asas ekonomi baharu kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan yang tidak dapat dielakkan.
"Ia adalah bertepatan dengan hasrat kita untuk menggunakan data sebagai satu-satunya asas dalam kita merancangkan ekonomi baru dan dalam perbincangan tadi kita nampak bahawa realitinya kita tidak mempunyai pilihan selain ke arah masa depan ini.
"Kita perlu memanfaatkan teknologi terkini bagi memperkukuh keupayaan serta menambah nilai kepada sumber sedia ada melalui teknologi imejan dan data.
Dalam hubungan itu katanya, Sarawak melalui SMD Semiconductor akan memperkukuh kolaborasi penyelidikan, termasuk dalam bidang berimpak tinggi seperti quantum AI dan aeroangkasa.
Sementara itu, beliau menjelaskan lawatan tersebut turut memberi pendedahan kepada keupayaan superkomputer berskala besar yang menjadi tunjang kepada ekonomi data moden.
"Dan di sini juga selain perbincangan, kita dibawa melihat satu kemudahan 'supercomputing' kerana saya pernah menyatakan mengenai data masa nyata di mana kita mendapat data-data yang strategik.
"Di sini kita juga telah diberi peluang untuk melihat kompleks supercomputing di mana dalam kompleks ini terdapat 5,820 GPU dengan pelayan berprestasi tinggi.
"Dan di sini juga mereka menggunakan 3.5 megawatt sejam untuk mengendalikan kira-kira 5,000 GPU yang digunakan di United Kingdom," ujarnya lagi.
Justeru katanya, kelebihan Sarawak dari segi tenaga boleh diperbaharui berpotensi menjadi pemangkin utama dalam menawarkan kos operasi yang lebih kompetitif berbanding negara maju, sekali gus membuka peluang untuk negeri ini muncul sebagai pusat penyelidikan dan pemprosesan data serantau.
"Memang dari sini tarifnya agak tinggi, jadi kalau kita boleh berkolaborasi dengan mereka, kita boleh menggunakan kaedah di negeri kita dengan kekuatan dari sudut tenaga boleh diperbaharui serta tarif kita sendiri.
"Jika kita dapat menawarkan kos yang lebih rendah dari segi bekalan tenaga dan sistem penyejukan seperti penggunaan sistem penyejukan air kitar semula, maka kita juga berpotensi menjadi pusat penyelidikan di rantau ini," jelasnya lagi.-EDISI UKAS