Sektor Penyelidikan Kesihatan Tarik RM1.8 Bilion Dari 2012-2025, Majoriti Limpahan Tertumpu Di Kuching
KUCHING: Sektor penyelidikan kesihatan telah berjaya menarik dana penyelidikan berjumlah RM1.8 bilion sejak 2012 hingga 2025, dengan majoriti limpahan dana berkenaan tertumpu di Kuching.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, pencapaian tersebut berdasarkan laporan tahunan Penyelidikan Klinikal Malaysia yang dilancarkan di Kuching bulan lalu, sekaligus mencipta lebih 3,500 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
“Penyelidikan Klinikal Malaysia pada bulan lalu telah melancarkan laporan tahunan mereka di Kuching yang menunjukkan bahawa sepanjang tempoh 2012 hingga 2025, organisasi itu berjaya membawa masuk dana penyelidikan berjumlah RM1.8 bilion, dengan sebahagian besar dana tersebut kekal di Kuching.
“Dalam tempoh yang sama, lebih 3,500 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji lumayan turut berjaya diwujudkan,” ujar beliau semasa berucap dalam Majlis Perasmian Affin Bank Cawangan Batu Kawa, di sini, pada Rabu.
Menyentuh mengenai pembukaan cawangan Affin Bank itu, Datuk Amar Dr Sim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa mengalu-alukan pembukaan cawangan di bawah konstituensi beliau yang bukan sekadar operasi perbankan biasa, sebaliknya sebahagian daripada agenda besar pembinaan Sarawak.
Difahamkan, pembukaan Affin Bank Cawangan Batu Kawah merupakan sebahagian daripada rangkaian lebih luas AFFIN yang merangkumi 13 cawangan di seluruh negeri, sekali gus mendekatkan perkhidmatannya kepada rakyat.
Hadir sama, Pengerusi Affin Islamic Bank Berhad Musa Abdul Malek, Pengerusi Affin Hwang Investment Bank Berhad Hasli Hashim, Pengerusi Affin Moneybrokers Admiral Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Affin Bank Berhad Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar Abang Hashim, Dato Sharkawi Alis dan Datu Elean Masa'at, serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS