MIRI: Penganjuran Pertandingan Karaoke Lagu-Lagu Dayak sempena Gawai Dayak Bazaar dan Ethnocultural Festival terus menjadi wadah penting dalam memelihara serta memartabatkan warisan seni muzik etnik di Sarawak.
Inisiatif tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai platform hiburan, malah membuka ruang kepada bakat baharu untuk diketengahkan, khususnya dalam kalangan generasi muda yang berminat dalam bidang seni persembahan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang berkata, sambutan menggalakkan terhadap pertandingan itu mencerminkan minat yang tinggi terhadap muzik Dayak, selain menunjukkan potensi besar dalam kalangan peserta dari pelbagai bahagian negeri.
“Program seumpama ini bukan sekadar hiburan, malah menjadi platform penting untuk mengasah bakat serta menggembleng potensi anak muda dalam bidang seni dan hiburan.
“Pertandingan ini memberi ruang kepada peserta untuk menonjolkan bakat di samping membina keyakinan diri serta memupuk minat terhadap seni muzik Dayak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pertandingan tersebut yang berlangsung di Bandar Baru Permyjaya, di sini, pada Selasa.
Seramai 15 peserta mengambil bahagian mewakili pelbagai kawasan termasuk Julau, Marudi, Serian, Miri, Sri Aman, Limbang, Lawas, Kanowit, Baram, Batu Niah, Betong dan Bintulu, sekali gus memperlihatkan penyertaan yang inklusif dari seluruh Sarawak.
Dalam pertandingan itu, Sapphira Felix dari Kuala Tutoh, Suai Niah dinobatkan sebagai juara menerusi lagu ‘Pengidup Aku’ dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.
Tempat kedua dimenangi oleh Wayner Mclynold Mathew dari Limbang melalui lagu ‘Siti Sumpah Siti Janji’ dengan hadiah RM1,500, manakala Irene Feddolyn Seredim dari Julau meraih tempat ketiga menerusi lagu ‘Ukai Peminta Tua’ dan menerima RM1,000.
Kesemua pemenang turut membawa pulang trofi dan sijil sebagai penghargaan.
Sementara itu, Anugerah Persembahan Terbaik dimenangi oleh Wellyes Cheluday dari Kanowit menerusi lagu ‘Anang Buai Batu’, manakala Wayner Mclynold Mathew turut merangkul Anugerah Vokal Terbaik, dengan kedua-duanya menerima hadiah wang tunai RM500.
Penganjuran program seumpama ini dilihat mampu memperkukuh pemeliharaan seni budaya tempatan serta menjadi medium efektif dalam merapatkan hubungan komuniti melalui penghayatan warisan etnik yang kaya dan unik di Sarawak. – EDISI UKAS