Sejambak Kasih Gawai Cerminan Prihatin Kerajaan Terhadap Kebajikan Rakyat
MUKAH: Program Sejambak Kasih Gawai Bahagian Mukah 2026 terus menjadi medium mendekati dan membantu golongan memerlukan apabila seramai 100 penerima bantuan diraikan dalam majlis yang berlangsung di Rumah Ajah, Tanjung Pedada, pada Rabu.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Berucap pada majlis itu, beliau berkata program Sejambak Kasih telah dilaksanakan sejak lebih 20 tahun lalu dan kekal sebagai inisiatif tahunan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak sempena sambutan perayaan utama seperti Hari Gawai, Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas.
Menurut beliau, program tersebut bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan penerima bagi membuat persiapan perayaan, malah menjadi simbol keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat.
“Melalui program seperti ini, kerajaan dapat mendekati golongan yang memerlukan selain memastikan mereka turut merasai kemeriahan sambutan perayaan,” katanya.
Dalam majlis tersebut, setiap penerima menerima bantuan tunai RM100 dan hamper bernilai RM80, manakala penerima yang tidak dapat hadir akan menerima bantuan menerusi pemindahan terus ke akaun masing-masing.
Penerima bantuan terdiri daripada pelbagai kategori skim bantuan bulanan melibatkan kawasan Sebakong, Tanjung Pedada hingga Bukit Engkerbai.
Sehingga Mei 2026, seramai 505 penerima bantuan bulanan berbangsa Iban di Daerah Mukah direkodkan menyambut Hari Gawai tahun ini.
Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, JKM Sarawak telah menyalurkan bantuan berjumlah RM11.13 juta kepada 4,540 penerima di Bahagian Mukah.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2.72 juta disalurkan kepada 1,140 penerima di Mukah menerusi pelbagai skim bantuan termasuk Bantuan Warga Emas, Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Am serta bantuan kepada golongan orang kurang upaya (OKU).
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata program Sejambak Kasih membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menjaga kebajikan rakyat.
Katanya, kebajikan bukan hanya tertumpu kepada bantuan kewangan dan keperluan asas, sebaliknya turut melibatkan perhatian serta sokongan moral kepada golongan yang memerlukan.
Beliau turut berharap program berkenaan diteruskan kerana mampu memberi semangat dan harapan kepada masyarakat yang memerlukan bantuan.
Pada majlis sama, Dato Sri Fatimah dan Royston masing-masing mengumumkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM7,000 dan sumbangan RM5,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti di rumah panjang berkenaan.- EDISI UKAS