Pastikan Sarawak ‘Back-to-Back’ Juara SUKMA - Dato Sri Abdul Karim
SEMATAN: Atlet Sarawak diseru untuk memberikan prestasi terbaik dan melakar kejayaan cemerlang bagi memastikan kontinjen negeri muncul juara berturut-turut pada temasya Sukan Malaysia Ke-22 (SUKMA XXII) Selangor 2026 akan datang.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, harapan tinggi bukan sahaja diletakkan oleh kepimpinan negeri, malah seluruh rakyat Sarawak yang ingin melihat kejayaan atlet di pentas SUKMA.
Menurutnya, kejayaan ini hanya boleh dicapai oleh para atlet yang berentap yang berada di sana untuk membawa nama Sarawak di peringkat kebangsaan.
"Kami hanya mampu memberi semangat dan berharap, tetapi selebihnya bergantung kepada anda semua, maka jangan sesekali kecewakan kami.
"Laksanakan tanggungjawab anda dan tunaikan peranan anda berdasarkan segala usaha yang telah dilakukan sepanjang dua tahun ini.
"Kembalilah dengan kejayaan bagi memastikan Sarawak menjadi juara berturut-turut — 'back-to-back' champion," katanya ketika berucap dalam Majlis Penutupan Champion Camp dan Pelancaran Countdown 100 Days ke SUKMA XXII Selangor 2026 di Kem Putra Sentosa Retreat, di sini, pada Rabu.
Ujarnya, rakyat ingin melihat lagu Ibu Pertiwi dinyanyikan setiap kali tamat sesuatu acara sukan yang menandakan kemenangan pingat emas kepada Bumi Kenyalang.
Dato Sri Abdul Karim turut ingin melihat atlet-atlet baharu yang tidak dijangka mampu menghadiahkan emas kepada Sarawak.
Jelasnya, atlet Sarawak tidak boleh ada sifat 'kedua terbaik' dalam diri biarpun berhadapan dengan atlet kebangsaan namun perlu mempunyai mentaliti nombor satu dalam mana-mana acara.
"Apabila masuk ke gelanggang, jangan gentar walaupun melihat lawan yang merupakan atlet kebangsaan, kerana atlet kebangsaan juga boleh tewas.
"Sebaik sahaja anda melihat diri anda sebagai nombor dua, anda tidak akan menjadi yang terbaik. Itu sangat penting.
"Saat anda melangkah masuk ke gelanggang, tanamkan dalam fikiran bahawa tiada siapa boleh mengalahkan anda, anda adalah yang terbaik.
"Apabila anda mampu membina pemikiran dan mentaliti seperti itu, anda akan menjadi juara," jelasnya.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu dan Datuk Dr Ripin Lamat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu Azizul Annuar Adenan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Khairul Nizam Morshidi serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery & George Embie