Sarawak Sasar Pertahan Kejuaraan SUKMA Di Selangor, Pertaruh Kontinjen Besar
SEMATAN: Sarawak akan membariskan kontinjen besar dalam misinya untuk mempertahankan kejuaraan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 Selangor 2026.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Belia dan Sukan), Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, seramai 1,158
atlet, jurulatih, pengurus dan pegawai akan membawa cabaran Sarawak pada kempen kali ini yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos nanti.
"Jumlah penyertaan yang besar ini mencerminkan kesungguhan serta komitmen penuh Sarawak dalam memastikan penyertaan yang mantap dan kompetitif di temasya sukan terbesar negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan Champion Camp dan Pelancaran Countdown 100 Days ke SUKMA XXII Selangor 2026 di Kem Putra Sentosa Retreat, di sini, pada Rabu.
Penutupan majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Dalam pada itu, Datuk Gerald menambah, Champion Camp yang dilaksanakan dalam dua fasa berjaya menghimpunkan ratusan atlet daripada pelbagai jenis sukan sebagai usaha memperkasa prestasi kontinjen negeri.
Tambahnya, Champion Camp bukan sekadar program latihan biasa, tetapi merupakan medium untuk melahirkan atlet yang bukan sahaja cemerlang dalam prestasi sukan, malah mempunyai integriti dan berdisiplin berkonsepkan semangat 'Agi Idup Agi Ngelaban'.
Selain itu, Datuk Gerald memberitahu, tempoh 100 hari ini merupakan fasa kritikal dan 'final push' buat seluruh kontinjen Sarawak untuk memperkemaskan strategi, meningkatkan prestasi dan menggandakan usaha dalam memastikan pencapaian terbaik dapat dicapai nanti.
"Besar harapan kita agar kontinjen Sarawak mampu melakar pencapaian cemerlang serta membawa semangat juang dan kebanggaan negeri di pentas SUKMA XXII Selangor 2026 nanti.
"Kejayaan pada SUKMA XXI Sarawak 2024 membuktikan bahawa atlet Sarawak memiliki kemampuan, disiplin dan semangat juang yang tinggi untuk bersaing di peringkat tertinggi," ujarnya.
Hadir sama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu Azizul Annuar Adenan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Khairul Nizam Morshidi serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery & George Embie