Majlis Adat Istiadat Sarawak Perkukuh Pemodenan Adat Natif Seiring Perubahan Semasa
KUCHING: Usaha memodenkan dan memperkukuh adat natif di Sarawak terus diperkasa menerusi pendekatan lebih sistematik termasuk kajian semula, penambahbaikan serta pengenalan peruntukan baharu agar kekal relevan dengan kehidupan masyarakat masa kini.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, mesyuarat Majlis Adat Istiadat Sarawak yang berlangsung dari 4 hingga 6 Mei 2026 menjadi platform penting dalam membincangkan isu berkaitan adat termasuk usaha modifikasi dan kajian semula adat pelbagai kaum di negeri ini.
Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi memastikan adat terus terpelihara selain mampu berkembang selaras dengan perubahan sosial dan keperluan semasa.
“Majlis ini perlu terus menjadi wadah utama dalam memartabatkan adat melalui usaha pemeliharaan, pembangunan dan pengembangan adat natif di Sarawak,” katanya semasa berucap pada Majlis Penghargaan Majlis Adat Istiadat Sarawak di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pelantikan Ahli Majlis bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Mac 2026 hingga 24 Februari 2029 telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MNPG) pada 16 April lalu selaras dengan peruntukan Ordinan Majlis Adat Istiadat Sarawak 1977.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada barisan ahli baharu yang dilantik serta penghargaan kepada ahli yang dilantik semula atas komitmen berterusan dalam memperkasakan institusi adat di negeri ini.
Pada masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada Datu Ronnie Edward yang bakal menamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Majlis pada 3 Jun 2026 selepas dua penggal menerajui organisasi tersebut.
“Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk usaha kodifikasi dan kajian semula adat yang kini berada di peringkat akhir untuk beberapa komuniti utama,” jelasnya.
Tambah beliau, antara adat yang kini di peringkat akhir termasuk Adat Iban 1993 dan Adat Bidayuh 1994, selain kajian semula Adat Kayan dan Kenyah yang telah dipersetujui untuk dikemukakan kepada Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak bagi proses penelitian lanjut.
Mengulas lanjut, beliau berkata beberapa kajian adat lain seperti Adat Bisaya 2004, Adat Nombawang 2004, Adat Kelabit 2008 dan Adat Penan 2011 masih dalam peringkat kajian.
Dalam usaha memperkukuh fungsi majlis, satu seksyen baharu iaitu Seksyen Budaya dan Tradisi turut ditubuhkan bagi meningkatkan pemahaman serta penghargaan terhadap adat, budaya dan sejarah masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.
Pada masa sama, kerajaan negeri turut meluluskan penambahbaikan elaun dan kemudahan kepada Ahli Majlis sebagai usaha meningkatkan profesionalisme serta keberkesanan pelaksanaan tugas.
Antara penambahbaikan tersebut termasuk kenaikan elaun bulanan kepada RM1,000 berbanding RM500 sebelum ini, selain elaun mesyuarat serta kemudahan perubatan dan pakaian rasmi.
Beliau menegaskan, langkah tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam menyokong peranan Majlis Adat Istiadat Sarawak sebagai institusi penting dalam pemeliharaan dan pembangunan adat natif.
Majlis turut menghimpunkan pelbagai agensi termasuk Setiausaha Kerajaan Sarawak, Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak serta rakan strategik lain dalam memastikan usaha memperkasa adat dapat dilaksanakan secara bersepadu.-EDISI UKAS