Pembinaan Gelanggang Tinju Diluluskan, Perkasa Pembangunan Atlet di Saratok
SARATOK: Sebuah gelanggang tinju bernilai RM190,000 telah diluluskan bagi mempertingkat kemudahan sukan serta menyokong pembangunan atlet tinju di Saratok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, projek itu diluluskan menerusi Residen Bahagian Betong sebagai usaha memperluas pembangunan sukan berkenaan di kawasan tersebut.
"Saya telah memohon melalui Residen Bahagian Betong untuk membina sebuah gelanggang tinju bernilai RM190,000 di Saratok sebagai usaha memperkasa pembangunan sukan ini," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian Kejohanan Tinju Bakat, Junior dan Jemputan Saratok Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Pentas Utama Sri Kalaka pada Rabu.
Mohamad berharap kemudahan itu dapat memberi manfaat kepada atlet tempatan selain menjadi platform melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam arena tinju.
Menurutnya, sukan tinju bukan sekadar aktiviti fizikal, malah melambangkan disiplin, keberanian serta semangat juang yang tinggi.
“Sukan merupakan medium terbaik untuk membentuk jati diri, memupuk semangat kesukanan serta membantu golongan belia menjauhi gejala sosial,” tambah beliau.
Kejohanan yang berlangsung dari 4 hingga 9 Mei itu menghimpunkan atlet muda dari seluruh Sarawak dengan penyertaan empat kelab iaitu Joseph Harry Boxing Club, Panglima Seman Boxing Club, Tidal Bore Boxing Club dan UDAK Boxing Club.
Penganjuran kejohanan berkenaan bertujuan mencungkil bakat baharu serta memperkukuh arena tinju di peringkat negeri.
Turur hadir ialah ADUN Krian Friday Belik, Pegawai Daerah Saratok Muhammad Dino Amid, Presiden Joseph Harry Boxing Club Joseph Harry serta Mejar Sapok Biki.-EDISI UKAS