Program Pra Gawai DUN Meradong Hari Ke-15 Santuni Penduduk Sungai Petai
MERADONG: Program Pra Gawai Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong yang memasuki hari ke-15 pada Rabu diteruskan dengan kunjungan ke kawasan Rumah Panjang Sungai Petai bagi menyantuni masyarakat setempat menjelang sambutan Hari Gawai yang bakal diraikan tidak lama lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing bersama rombongan meneruskan siri jelajah Pra Gawai yang menjadi acara tahunan bagi mendekati rakyat di kawasan luar bandar.
Ketibaan beliau disambut mesra oleh penduduk rumah panjang dalam suasana penuh muhibah, sekali gus mencerminkan hubungan erat antara pemimpin dan masyarakat yang terus dipelihara.
Suasana sambutan yang meriah dengan adat tradisi masyarakat Iban turut menyerikan lagi program tersebut, selain memperlihatkan semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan penduduk setempat.
Dalam lawatan itu, Datuk Ding turut meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk serta merakamkan penghargaan atas sokongan dan kerjasama yang sentiasa diberikan kepada beliau selama ini.
Beliau menegaskan, kerajaan Sarawak akan terus memberi perhatian terhadap pembangunan luar bandar termasuk aspek infrastruktur, kemudahan asas, kebajikan rakyat dan pembangunan ekonomi masyarakat rumah panjang supaya semua lapisan rakyat dapat menikmati pembangunan secara menyeluruh dan seimbang.
Selain itu, beliau juga berharap sambutan Pra Gawai menjadi platform penting dalam memperkukuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di samping memelihara adat dan budaya warisan agar terus dihargai oleh generasi muda.-EDISI UKAS