Sarawak Bakal Jadi Negeri Pertama Laksana Marine Cadaster Menjelang 2029
KUCHING: Sarawak bakal muncul sebagai negeri pertama di Malaysia melaksanakan sistem Marine Cadaster menjelang 2029 dalam usaha memperkukuh pengurusan kawasan perairan serta memacu pembangunan ekonomi biru negeri.
Pengarah Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood berkata, inisiatif baharu itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan sistem penyukatan marin yang melibatkan kawasan perairan, termasuk water column dan dasar laut, bagi mewujudkan rekod marin yang lengkap serta tersusun.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak telah memberi mandat kepada JTS Sarawak untuk melaksanakan projek tersebut dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi tempoh 2026 hingga 2028.
Katanya, pembangunan Marine Cadaster amat penting memandangkan kebanyakan potensi ekonomi biru tertumpu di kawasan perairan termasuk pembangunan luar pesisir serta inisiatif penyimpanan karbon.
“Kita memerlukan satu sistem rekod yang sempurna seperti mana sistem survei dan rekod tanah di daratan bagi memastikan pengurusan kawasan perairan dapat dilaksanakan secara lebih sistematik dan efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri RISM Surveyors’ Congress 2026 Sarawak Branch di Grand Riverine Ballroom pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata antara komponen utama yang sedang diperincikan termasuk aspek perundangan, pendaftaran dan penyukatan marin bagi memastikan pelaksanaan sistem tersebut dapat direalisasikan sepenuhnya menjelang 2029.
Dalam masa sama, katanya, Sarawak juga akan mengadakan lawatan teknikal dan kajian penanda aras ke Perth dan Queensland pada September depan bagi meneliti pelaksanaan Marine Cadaster di Australia yang dilihat antara negara terawal membangunkan sistem berkenaan.
Beliau turut menegaskan Sarawak mempunyai kelebihan tersendiri untuk menerajui pelaksanaan sistem tersebut kerana pentadbiran tanah negeri turut melibatkan kawasan pesisir pantai dan laut di bawah Kanun Tanah Sarawak.
“Dalam konteks Sarawak, kita boleh dianggap antara yang terkehadapan di Malaysia untuk melaksanakan penyukatan laut kerana pentadbiran kawasan pantai dan laut berada di bawah tanggungjawab negeri,” katanya. -EDISI UKAS
Wartawan: Lonney Jinab
Jurugambar: Mohammad Naseem Razali