13 Qari, Qariah Jayakan Tilawah Al-Quran Bahagian Samarahan
SIMUNJAN: Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Samarahan 1447H/2026M membuka tirainya dengan penuh meriah menerusi penyertaan 13 peserta terdiri daripada enam qari dan tujuh qariah yang mewakili beberapa daerah di Bahagian Samarahan.
Program yang berlangsung di Dewan Mesra Simunjan bermula 6 hingga 7 Mei itu menghimpunkan peserta terbaik yang berjaya memperoleh markah tertinggi dalam saringan Tilawah Al-Quran peringkat daerah masing-masing.
Antara daerah yang menghantar wakil ialah Daerah Samarahan, Asajaya, Simunjan, Gedong dan Sebuyau dengan Daerah Asajaya mencatat penyertaan tertinggi seramai lapan peserta.
Penyertaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam memartabatkan seni bacaan Al-Quran di samping menggalakkan penghayatan Islam dalam kalangan masyarakat setempat.
Pada malam pertama pertandingan, seramai 11 peserta telah memperdengarkan bacaan masing-masing dengan penuh tartil dan penghayatan sekali gus memukau barisan juri serta hadirin yang hadir.
Dua lagi peserta dijadual memperdengarkan bacaan pada malam kedua yang turut menjadi malam penangguhan majlis berkenaan.
Majlis penangguhan dijangka disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Turut dijangka hadir ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris.-EDISI UKAS