Sarawak Perhebat Transformasi Geospatial, Marine Cadaster Sokong Agenda Pembangunan 2030
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh agenda transformasi digital dan pembangunan mampan menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif geospatial strategik termasuk pembangunan Marine Cadaster, sistem utiliti berpusat serta rangka kerja geodetik moden bagi menyokong aspirasi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Pengarah Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood berkata, pengurusan tanah dan data geospatial kini menjadi komponen kritikal dalam menjayakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam aspek tadbir urus, pembangunan infrastruktur dan kelestarian alam sekitar.
Menurut beliau, tanpa pentadbiran tanah yang cekap serta data spatial yang tepat, pembangunan negeri akan berdepan risiko ketidakseimbangan, kelewatan dan konflik penggunaan tanah.
“Tanah bukan sekadar aset fizikal tetapi asas kepada ekonomi, komuniti dan identiti Sarawak.
“Pembangunan sebenar bukan hanya pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi pembangunan mampan yang inklusif dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada RISM Surveyors’ Congress 2026 Sarawak Branch di Grand Riverine Ballroom pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata JTS Sarawak kini giat memacu transformasi digital menerusi pembangunan sistem kadaster digital, platform geospatial bersepadu serta pelaksanaan Sarawak Geocentric Datum 2020 (SGD2020) yang menggantikan sistem lama digunakan sejak 1968.
Katanya, pembangunan rangkaian Sarawak Continuously Operating Reference Stations Network (Sarawak SJNet) yang kini melibatkan 38 stesen rujukan di seluruh negeri turut meningkatkan ketepatan data kedudukan geospatial serta menyokong pembangunan sistem pintar berasaskan data.
Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan negeri turut memperkukuh pengurusan utiliti menerusi pembangunan sistem Utimax, iaitu platform digital berpusat bagi pemetaan utiliti yang dilancarkan sepenuhnya pada 2025.
Menurutnya, sistem tersebut membolehkan data utiliti diselaraskan, diakses dan diurus secara lebih efisien sekali gus mengurangkan konflik semasa pelaksanaan projek pembangunan dan pembinaan infrastruktur.
Beliau turut menegaskan bahawa Sarawak kini berada di landasan kukuh untuk menerajui pembangunan Marine Cadaster di Malaysia bagi menyokong ekonomi biru, perlindungan sempadan maritim serta pembangunan inisiatif karbon seperti Carbon Capture, Utilisation and Storage (CCUS).
“Marine Cadaster bukan sahaja membantu pengurusan kawasan laut secara lebih sistematik, malah membolehkan pemetaan tiga dimensi melibatkan permukaan laut, water column dan dasar laut.
“Ia penting bagi melindungi kepentingan negeri, memperjelas hak penggunaan kawasan maritim serta menyokong pembangunan sumber luar pesisir secara mampan,” katanya.
Tambah beliau, Sarawak telah membangunkan pelan hala tuju Marine Cadaster yang kini memasuki fasa pelaksanaan bermula 2026 menerusi kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Dalam pada itu, beliau menegaskan profesion juruukur kini tidak lagi sekadar tertumpu kepada kerja pengukuran sempadan, sebaliknya memainkan peranan penting dalam dasar pembangunan, transformasi digital serta agenda kelestarian negeri.-EDISI UKAS
Wartawan: Lonney Jinab
Jurugambar: Mohammad Naseem Razali