Kerjasama Pelbagai Agensi Selamatkan Pesakit Penan Dari Long Lobang Ke Hospital Miri
MIRI: Akses kesihatan masyarakat pedalaman terus diberi perhatian apabila kerjasama pelbagai agensi berjaya menyelamatkan seorang pesakit daripada komuniti Penan di Long Lobang untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Miri.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala berkata, pesakit dikenali sebagai Kuya Akeh, iaitu bapa kepada Ketua Kampung Long Lobang, Lian Kuya, berada dalam keadaan tenat selepas beberapa hari sakit.
Menurut beliau, penduduk kampung telah menghubunginya bagi mendapatkan bantuan kerana mereka tidak mampu membawa pesakit ke Bario untuk mendapatkan rawatan berikutan keadaan laluan yang sukar serta berisiko tinggi.
“Apabila pihak Hospital Miri memaklumkan bahawa prosedur operasi standard (SOP) semasa tidak membolehkan pemindahan perubatan (medivac) dari Long Lobang, saya segera mencari alternatif lain demi menyelamatkan nyawa pesakit ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, Long Lobang merupakan penempatan masyarakat Penan yang sangat terpencil dan hanya boleh diakses selepas kira-kira dua hari perjalanan berjalan kaki meredah hutan serta kawasan berbukit dari Bario.
Katanya, faktor geografi yang mencabar menyebabkan masyarakat di kawasan tersebut berdepan kesukaran untuk mendapatkan akses kepada kemudahan kesihatan.
“Syukur, apabila pihak pejabat saya menghubungi BOMBA Pengkalan Udara Wilayah Utara Miri, mereka dengan penuh komitmen dan semangat kemanusiaan bersedia melancarkan penerbangan ihsan bagi membawa keluar pesakit tersebut,” ujarnya.
Datuk Gerawat turut menyifatkan tindakan pantas semua pihak termasuk Pejabat Residen Bahagian Miri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Hospital Miri sebagai bukti semangat kerjasama tinggi dalam mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira lokasi.
“Usaha ini bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah memberi sinar harapan kepada masyarakat pedalaman bahawa mereka tidak pernah dipinggirkan.
“Saya merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat atas dedikasi dan pengorbanan dalam melaksanakan misi kemanusiaan ini. Semoga usaha murni seperti ini terus diperkukuhkan demi kesejahteraan rakyat Sarawak,” katanya.-EDISI UKAS