Sape terus diperkasa sebagai warisan budaya dan pemangkin perpaduan Sarawak
MIRI: Seni muzik tradisional sape terus diperkasa sebagai lambang identiti dan kekuatan budaya masyarakat Orang Ulu yang bukan sahaja menjadi kebanggaan Sarawak, malah semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Usaha memelihara warisan budaya itu selari dengan komitmen kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak yang memastikan pembangunan negeri bergerak seiring pemeliharaan adat dan budaya pelbagai kaum di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa memberi perhatian bukan sahaja terhadap pembangunan infrastruktur, ekonomi digital, pendidikan dan kawasan luar bandar termasuk Baram, malah turut menitikberatkan usaha memelihara seni warisan seperti sape dan tarian tradisional masyarakat Dayak.
“Dalam dunia yang bergerak ke arah serba moden, kita di Sarawak tidak pernah melupakan adat dan budaya kita. Inilah kekuatan sebenar Sarawak, pembangunan yang tidak melupakan akar budaya daripada pelbagai etnik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Sape’ Duo sempena Gawai Dayak Bazaar dan Ethnocultural Festival di Bandar Baru Permyjaya, pada Rabu.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak turut menyalurkan sokongan dalam bentuk nasihat, tenaga serta peruntukan kepada penggiat seni, persatuan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi memastikan seni warisan terus berkembang.
Beliau turut menggesa lebih banyak pertandingan sape, bengkel pembuatan sape serta platform mencungkil bakat anak muda dianjurkan bagi memastikan seni tradisional itu terus subur dalam kalangan generasi baharu.
Dalam pada itu, beliau berkata sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri yang berlangsung di Miri berjaya menjadi platform memartabatkan budaya kaum Dayak selain mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.
Katanya, program sedemikian bukan sahaja menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara termasuk Brunei Darussalam dan Indonesia, malah membuka peluang ekonomi kepada rakyat tempatan menerusi sektor makanan, kraftangan, perhotelan dan pelancongan.
Pada pertandingan tersebut, pasangan Vandyland Rodger James dan Roystance Khairel Abdullah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Sape’ Duo.
Naib juara pula dimenangi Elvis Lai Hui Zhe dan Argill Unggie Willie manakala tempat ketiga menjadi milik Logan Suli dan Kingsli Ajan.
Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, RM1,500 dan RM1,000 berserta trofi serta sijil penyertaan.
Seramai 12 peserta duo mengambil bahagian dalam pertandingan itu yang dianjurkan sempena Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri yang berlangsung dari 1 hingga 21 Mei di Miri. -EDISI UKAS