CCTV Baharu Perkukuh Keselamatan Taman Rekreasi Merbau Pelita
MIRI: Usaha memperkukuh keselamatan awam dan keselesaan komuniti terus diberi perhatian menerusi pelaksanaan projek pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi di Taman Rekreasi Merbau Pelita di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Inisiatif melibatkan peruntukan sebanyak RM50,000 itu disalurkan bagi pemasangan empat unit CCTV yang kini telah siap sepenuhnya, sekali gus meningkatkan aspek pemantauan serta pengurusan kemudahan awam di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, pemasangan sistem tersebut penting susulan peningkatan penggunaan taman rekreasi dan gelanggang bola keranjang selepas kerja naik taraf kemudahan itu dilaksanakan sebelum ini.
Menurut beliau, sistem CCTV berkenaan bukan sahaja membantu mencegah jenayah dan vandalisme, malah turut memperkukuh kawalan keselamatan serta menjaga kebersihan kawasan komuniti.
“Selain mencegah jenayah dan kerosakan harta awam, langkah ini juga dapat meningkatkan kesedaran terhadap kebersihan persekitaran, sekali gus mengurangkan masalah pembuangan sampah secara sembarangan dan memelihara keindahan kawasan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa meninjau projek RTP di Taman Rekreasi Merbau Pelita, di sini, pada Rabu.
Tambah beliau, sistem CCTV yang dipasang dilengkapi rakaman berdefinisi tinggi serta fungsi pengimejan waktu malam bagi memastikan keadaan sekitar dapat dipantau dengan jelas, termasuk disertakan paparan tarikh dan masa untuk tujuan rujukan dan tindakan pihak berkuasa.
Dalam pada itu, beliau berharap taman rekreasi berkenaan terus berfungsi sebagai pusat riadah dan platform mengeratkan perpaduan komuniti setempat.
Katanya, aspek penyelenggaraan berterusan serta kerjasama penduduk amat penting bagi memastikan kemudahan awam sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.
Beliau turut memaklumkan usaha sedang dijalankan untuk menghubungkan sistem CCTV tersebut dengan pusat pemantauan CCTV Majlis Bandaraya Miri bagi membolehkan pemantauan keselamatan dilaksanakan secara lebih berkesan selama 24 jam.
Difahamkan, penggunaan taman rekreasi itu terutama pada waktu malam turut meningkat selepas pemasangan lampu pencahayaan, dengan orang ramai memanfaatkan kemudahan tersebut untuk aktiviti riadah seperti berjoging dan bermain bola keranjang.
Taman Rekreasi Merbau Pelita dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk gelanggang bola keranjang, kawasan senaman dan taman permainan kanak-kanak.
Sebelum ini, beberapa projek penambahbaikan telah dilaksanakan menerusi RTP dengan peruntukan RM159,000 pada 2017, RM80,000 pada 2019 dan RM150,000 pada 2024, manakala peruntukan RM50,000 pada 2025 digunakan bagi pemasangan empat unit CCTV berdefinisi tinggi di kawasan tersebut.-EDISI UKAS