Projek RTP RM100,000 Naik Taraf Laluan Berbumbung SMK Chung Hua Miri Siap Sepenuhnya
MIRI: Kemudahan laluan berbumbung di luar kawasan SMK Chung Hua Miri kini lebih selesa dan selamat digunakan selepas projek naik taraf menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM100,000 berjaya disiapkan sepenuhnya.
Projek tersebut melibatkan kerja-kerja pembaikan laluan menunggu sepanjang kira-kira 164 meter termasuk menaik taraf permukaan lantai serta meninggikan aras tanah antara satu hingga dua inci bagi mengatasi masalah takungan air ketika hujan yang telah lama membelenggu kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, kerajaan Sarawak terus komited melaksanakan Program Transformasi Luar Bandar dengan memberi penekanan terhadap penyelesaian isu di peringkat akar umbi, khususnya melibatkan keperluan rakyat dan institusi pendidikan.
Menurut beliau, setiap peruntukan yang disalurkan perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan penambahbaikan infrastruktur dapat dilaksanakan secara berterusan demi keselesaan dan keselamatan pengguna.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak projek di sekolah tersebut pada Rabu.
Lawatan itu turut disertai Setiausaha Cawangan SUPP Piasau merangkap Ahli Majlis Bandaraya Miri, Kaunselor Kelvin Chia, Ketua Pemuda Cawangan SUPP Piasau merangkap Ahli Majlis Bandaraya Miri, Kaunselor Leslie Lau, Pengetua SMK Chung Hua Miri, Lai Jia Ling, pihak kontraktor serta jurutera dari Majlis Bandaraya Miri.
Pelaksanaan projek tersebut bukan sahaja memenuhi keperluan pihak sekolah yang telah lama dihadapi, malah membantu meningkatkan pengalaman harian warga sekolah melalui penyediaan ruang menunggu yang lebih selamat, bersih dan kondusif.
Selain itu, penambahbaikan berkenaan turut berkesan dalam mengatasi masalah takungan air sekali gus memperkukuh aspek keselamatan pelajar terutama ketika musim hujan.-EDISI UKAS