Yang di-Pertua Negeri Sarawak Terima Kunjungan Hormat Premier Sarawak
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di Astana Negeri Sarawak, pada Khamis.
Kunjungan tersebut diadakan bagi memohon perkenan serta menyampaikan taklimat berhubung agenda Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Pertemuan rutin yang berlangsung sebelum mesyuarat kabinet negeri itu mencerminkan hubungan kerjasama erat antara institusi Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan kepimpinan eksekutif negeri dalam memastikan urusan pentadbiran serta pembangunan negeri terus berjalan lancar dan berkesan.
Dalam suasana penuh mesra dan harmoni, kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai beberapa perkara penting melibatkan kepentingan rakyat serta hala tuju pembangunan negeri.
Perbincangan tersebut selaras dengan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh strategi pembangunan masa depan Sarawak demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.-EDISI UKAS