Dialog Penyukatan Tanah NCR Ulu Melupa Perjelas Proses Seksyen 18 KTN
SARATOK: Penduduk di kawasan Ulu Melupa yang melibatkan Mapar, Babang dan Rimbas menghadiri sesi dialog berkaitan proses penyukatan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN).
Pihak Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak memaklumkan bahawa kerajaan negeri menyasarkan penyukatan tanah NCR seluas 1.5 juta hektar di seluruh Sarawak, dengan 1.2 juta hektar berjaya diselesaikan sepanjang tempoh 12 tahun lalu.
Menurut jabatan itu, proses penyukatan dijalankan secara percuma kepada rakyat dan bertujuan mempercepat pengeluaran hak milik di bawah Seksyen 18.
Bagi kawasan terlibat, kira-kira 1,700 hektar tanah dikenal pasti untuk disukat, termasuk tanah NCR yang masih belum melalui proses pengukuran rasmi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam memastikan hak pemilikan tanah adat terus dipelihara.
Beliau turut menjelaskan, pemilik tanah NCR layak menerima pampasan sekiranya kawasan mereka terlibat dengan projek pembangunan seperti pembinaan jalan raya, sekolah atau klinik.
Selain itu, beliau mencadangkan agar kursus penggunaan GPS diperluaskan kepada penduduk bagi membantu mereka memahami kaedah penyukatan tanah dengan lebih berkesan.
Dalam majlis berkenaan, Friday turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM15,000 kepada Persatuan Krian Tengah bagi pembelian peralatan GPS.
Beberapa peruntukan pembangunan turut diumumkan melibatkan RM180,000 untuk projek jalan menuju Sungai Belong, RM10,000 Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada JKK Sungai Belong dan RM100,000 bagi kerja penggantian atap di TR Untan, Tanjung Sikup.-EDISI UKAS