1,037 Sijil Kewarganegaraan Di Bawah Perkara 15A Dikeluarkan Sejak 2023
KUCHING: Sebanyak 1,037 sijil kewarganegaraan telah dikeluarkan di Sarawak bagi tempoh 2023 hingga April 2026 melibatkan permohonan yang telah diluluskan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, jumlah tersebut menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu menyelesaikan isu kewarganegaraan melibatkan kanak-kanak di negeri ini.
“Yang sudah dikeluarkan sijil, maknanya sudah lulus permohonan dan sudah dikeluarkan sijil dari tahun 2023 hingga April 2026 adalah 1037,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK) Perkara 15A Peringkat Sarawak Bil.2/2026 di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sarawak pada Jumaat.
Menurut Dato Sri Fatimah, selain permohonan yang telah menerima sijil kewarganegaraan, sebanyak 141 lagi permohonan yang diluluskan bagi tempoh 2023 hingga 2024 kini berada dalam proses pengeluaran sijil.
Ujarnya, selepas permohonan diluluskan, pemohon perlu memohon sijil kewarganegaraan di JPN sebelum proses pengeluaran sijil diuruskan di Putrajaya.
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah memaklumkan, dalam mesyuarat tersebut, sebanyak 32 permohonan kewarganegaraan telah dibentangkan melibatkan 21 permohonan anak tidak sah taraf, 10 anak jagaan dan satu anak angkat.
Beliau berkata, secara keseluruhan sebanyak 314 permohonan kewarganegaraan diterima bagi tempoh 2024 hingga 8 Mei 2026 dengan kategori anak tidak sah taraf masih mencatat jumlah tertinggi.
Tegasnya lagi, penubuhan JKKSK telah membantu mempercepatkan proses permohonan berbanding sebelum jawatankuasa khas itu diwujudkan.
Sementara itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya memastikan perkahwinan didaftarkan secara sah bagi mengelakkan isu kewarganegaraan anak pada masa hadapan, khususnya melibatkan pasangan warga asing.
Turut hadir semasa sidang media berkenaan ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak Datuk Rosey Yunus.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Mohammad Naseem