Miri Perkukuh Budaya Ilmu Menerusi Karnival Literasi Lestari 2026
MIRI: Budaya membaca, penghayatan bahasa dan pembangunan komuniti berteraskan ilmu terus diperkukuh menerusi penganjuran Karnival Literasi Lestari 2026 bertemakan “Kota Kata, Jiwa Bangsa” yang berlangsung meriah di Bintang Megamall pada Jumaat.
Program anjuran bersama Pembangunan Komuniti Lestari SDG Majlis Bandaraya Miri (MBM), rakan strategik SDG serta Jawatankuasa Penduduk Miri itu menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha menyemarakkan budaya literasi dan pemikiran kreatif dalam kalangan komuniti setempat.
Karnival berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Lestari MBM, Kr. Jamil Bujang.
Dalam ucapan perasmiannya, Kr. Jamil berkata kekuatan sesebuah bandar bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal dan kemajuan teknologi semata-mata, sebaliknya turut bergantung kepada tahap ilmu, budaya membaca serta nilai kemanusiaan masyarakatnya.
Menurut beliau, penganjuran Karnival Literasi Lestari bukan sekadar acara tahunan, malah menjadi platform penting untuk menghidupkan semula budaya membaca, budaya berdiskusi serta penghargaan terhadap bahasa dan sastera dalam kehidupan seharian.
“Apabila masyarakat masih menghargai bahasa, terus membaca dan mencintai ilmu, itu menandakan masyarakat tersebut mempunyai arah serta jati diri yang kukuh,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan pendekatan lebih segar dalam memupuk minat generasi muda terhadap dunia literasi menerusi gabungan elemen sastera dan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).
Katanya, perkembangan teknologi wajar dimanfaatkan bagi memperkayakan kreativiti serta menjadikan proses pembelajaran lebih interaktif dan dekat dengan generasi muda masa kini.
Mengambil petikan kata-kata Sasterawan Negara, Dato Seri A. Samad Said bahawa “Bahasa menunjukkan bangsa, sastera menunjukkan jiwa”, beliau berkata penghayatan terhadap bahasa dan sastera perlu terus diperkasa sebagai asas pembentukan masyarakat berbudaya dan berilmu.
Justeru, beliau berharap program berkenaan menjadi titik permulaan kepada usaha lebih besar dalam melahirkan komuniti yang mencintai ilmu, berfikiran kreatif dan memiliki nilai kemanusiaan tinggi.
Sepanjang program berlangsung, pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk World Quest (Mega Silang Kata), Sambung Kata Power, deklamasi puisi, persembahan muzik, Open Mic Santai menerusi “Suara Kota Live” serta ceramah kesedaran berkaitan pembangunan masyarakat berilmu dan lestari.
Turut hadir Penolong Setiausaha (SDG dan Pelancongan) MBM, Dayang Siti Nurbaya Awg Kipli, ahli-ahli Jawatankuasa Tetap Pembangunan Lestari dan Jawatankuasa Tetap Pembangunan Pelancongan dan Acara Perniagaan MBM, ketua-ketua bahagian, seksyen dan unit MBM, serta wakil jabatan, ketua kaum dan komuniti setempat.- EDISI UKAS