Borneo IRT 2026: Saingan Peringkat Kumpulan Semakin Sengit
MIRI: Saingan Kejohanan Borneo International Robot Tournament (Borneo IRT) 2026 dalam peringkat kumpulan berlangsung sengit apabila pasukan dari pelbagai negara bersaing merebut slot ke pusingan seterusnya dengan kejohanan memasuki hari ketiga pada Jumaat.
Pertandingan yang menggunakan format liga berkumpulan itu menyaksikan setiap pasukan perlu berdepan beberapa lawan dalam kumpulan masing-masing untuk mengumpul mata dan melayakkan diri ke peringkat kalah mati.
Para peserta mempamerkan kemahiran pengaturcaraan serta kawalan robot yang mantap, di samping strategi pertandingan yang tersusun dan kreatif.
Persembahan robot yang stabil serta keupayaan pasukan menyesuaikan strategi mengikut situasi menjadikan setiap perlawanan berlangsung menarik dan mencabar.
Selain menonjolkan keupayaan dalam bidang teknologi dan robotik, para peserta juga memperlihatkan semangat kerjasama berpasukan, disiplin serta semangat kesukanan yang tinggi sepanjang pertandingan berlangsung.
Kejohanan itu turut menjadi platform interaksi antarabangsa apabila peserta dari pelbagai negara dan wilayah mengambil peluang untuk bertukar pandangan, berkongsi idea reka bentuk robot serta pengalaman dalam bidang pengaturcaraan.
Walaupun berlainan bahasa dan budaya, para peserta berjaya menjalinkan hubungan melalui minat yang sama terhadap teknologi dan inovasi.
Kejohanan tersebut bukan sekadar pertandingan robotik, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar.
Melalui pertandingan berbentuk praktikal itu, peserta dapat meningkatkan kemahiran berfikir secara logik, kreativiti, penyelesaian masalah serta keupayaan bekerja dalam satu pasukan.
Dengan saingan peringkat kumpulan yang semakin menghampiri penghujung, kedudukan pasukan yang bakal mara ke pusingan seterusnya semakin jelas.
Pasukan yang berjaya layak akan meneruskan cabaran dalam pusingan kalah mati dan final yang dijadual berlangsung esok bagi merebut kejuaraan setiap kategori. -EDISI UKAS