Pemain Industri Jerman Tinjau Potensi Pelaburan Sektor Pengangkutan Sarawak
KUCHING: Pemain industri dari Jerman menyatakan minat untuk meneroka potensi kerjasama strategik serta peluang pelaburan dalam sektor pengangkutan dan logistik Sarawak yang sedang berkembang pesat.
Perkara itu dizahirkan delegasi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia-Jerman (MGCC) semasa kunjungan hormat dan sesi perbincangan meja bulat bersama Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin di Bangunan Baitulmakmur, pada Khamis.
Delegasi tersebut diketuai Ahli Lembaga Pengarah MGCC, Dato’ Steven Aroki yang berada di Sarawak sempena Forum Perniagaan Jerman-Malaysia Ke-6 (GMBF) yang berlangsung di Kuching.
Dalam sesi perbincangan tersebut, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pembangunan ekosistem pengangkutan Sarawak meliputi pengangkutan awam, jaringan penerbangan, logistik, pembangunan pelabuhan, mobiliti mampan serta inisiatif pengangkutan hijau.
Turut dibincangkan ialah usaha pemodenan kenderaan pengangkutan berat dan hala tuju pembangunan sektor logistik serta pengangkutan komersial pada masa hadapan.
Dato Sri Lee turut berkongsi visi jangka panjang Sarawak dalam mentransformasikan landskap pengangkutan negeri sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), dengan penekanan terhadap penyelesaian berasaskan teknologi dan kelestarian.
Antara inisiatif utama yang diketengahkan ialah pembangunan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), termasuk pelaksanaan sistem Autonomous Rapid Transit (ART) berkuasa hidrogen yang meletakkan Sarawak sebagai perintis pengangkutan awam hijau di rantau ini.
Beliau berkata, sistem tersebut turut disokong oleh 55 buah bas pengantara berkuasa hidrogen bagi memperkukuh komitmen Sarawak terhadap penyelesaian mobiliti awam rendah karbon dan mesra alam.
Pada masa sama, beliau turut memberi taklimat mengenai usaha berterusan Sarawak dalam memperkukuh jaringan udara dan mobiliti serantau menerusi AirBorneo, selain menaik taraf infrastruktur lapangan terbang, pelabuhan dan terminal lori bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, pelancongan, perdagangan serta pelaburan.
Dato Sri Lee turut mengalu-alukan penglibatan lebih erat antara Sarawak dan industri dari Jerman khususnya dalam bidang mobiliti pintar, pengangkutan tenaga bersih, inovasi logistik, rantaian bekalan industri dan pembangunan infrastruktur pengangkutan.
Beliau berharap sesi libat urus tersebut dapat membuka ruang kepada kerjasama dua hala yang lebih kukuh serta perkongsian strategik yang saling menguntungkan antara Sarawak dan Jerman dalam sektor pengangkutan dan industri.
Turut hadir pegawai kanan Kementerian Pengangkutan Sarawak.-EDISI UKAS