KPWK Sarawak Sambut Baik Cadangan Akta Penjagaan Ibu Bapa
KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak menyambut baik cadangan Kerajaan Persekutuan untuk memperkenalkan Akta Penjagaan Ibu Bapa sebagai usaha memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan golongan warga emas di negara ini.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, keluarga sememangnya memainkan peranan utama dalam memastikan warga emas terus mendapat penjagaan, perhatian dan kasih sayang sewajarnya, selaras dengan nilai budaya dan agama masyarakat di negara ini.
Menurut beliau, kajian yang dijalankan oleh Universiti Swinburne mendapati kebanyakan warga emas lebih selesa menjalani kehidupan usia tua di rumah sendiri bersama keluarga berbanding ditempatkan di pusat jagaan.
“Memang kita dituntut untuk menjaga ibu bapa kita kerana ibu bapa telah menjaga kita ketika kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK) Perkara 15A Peringkat Sarawak Bil.2/2026 di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sarawak pada Jumaat.
Dato Sri Fatimah mengulas mengenai pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) diberi tanggungjawab merangka dan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan penjagaan warga emas kepada Kabinet dalam tempoh enam bulan akan datang.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan dasar tersebut perlu mengambil kira keadaan semasa keluarga supaya ia dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Katanya, terdapat keluarga yang berdepan cabaran ekonomi termasuk anak-anak yang tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menyara pasangan dan anak-anak sendiri.
Beliau turut menegaskan bahawa dasar tersebut perlu bersifat inklusif dengan mengambil kira golongan warga emas yang tidak mempunyai anak, waris ataupun mereka yang anak-anaknya sendiri berdepan kesukaran hidup akibat kemiskinan.
Tambah beliau, penglibatan Sarawak dalam proses penggubalan undang-undang itu amat penting bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan keadaan serta keperluan masyarakat di negeri ini.
Dato Sri Fatimah turut menekankan kepentingan pendekatan holistik dalam memastikan maruah serta kesejahteraan warga emas terus terpelihara, di samping memenuhi hasrat majoriti mereka untuk terus tinggal di kediaman sendiri sepanjang usia tua.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Sarah Nicole Hii
Foto: Sarah Nicole Hii