Gawai Dayak Medium Perkukuh Perpaduan, Pelihara Warisan
SARIKEI: Sambutan Hari Gawai Dayak terus berperanan sebagai medium penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak, di samping memelihara warisan budaya yang menjadi identiti negeri ini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii menegaskan bahawa penganjuran sambutan seumpama itu bukan sekadar acara tahunan, tetapi manifestasi keharmonian yang telah sekian lama terjalin dalam kalangan rakyat.
Menurut beliau, Hari Gawai bukan hanya melambangkan kesyukuran atas hasil tuaian, malah menjadi wadah penting dalam mengeratkan hubungan sosial, memperkukuh nilai hormat-menghormati serta memupuk semangat kebersamaan dalam masyarakat.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan usaha berterusan bagi memastikan adat dan budaya tradisional terus dipelihara, khususnya dalam mendepani cabaran globalisasi yang semakin kompleks.
“Warisan budaya tidak harus sekadar dikenang, sebaliknya perlu terus diamalkan dan diperkasa agar kekal relevan merentas generasi,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Mantar Gawai Dayak 2026 anjuran Persatuan Tuai Rumah Bahagian Sarikei di Dewan Sentral Sarikei, pada Khamis.
Sehubungan itu, Dato’ Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, menyeru golongan muda agar terus memainkan peranan sebagai pewaris budaya melalui penglibatan aktif dalam seni, bahasa ibunda serta aktiviti komuniti.
Beliau turut menegaskan bahawa sambutan Hari Gawai mencerminkan semangat hidup bermuafakat, saling membantu dan bergerak sebagai sebuah komuniti yang bersatu padu.-EDISI UKAS