Tilawah Al-Quran Perkukuh Penghayatan, Budaya Ilmu
SARATOK: Penganjuran program Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Saratok terus menjadi platform penting dalam memperkukuh penghayatan al-Quran serta menyemai budaya ilmu dalam kalangan masyarakat Islam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, program tahunan itu mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam mengangkat al-Quran sebagai panduan utama kehidupan.
“Majlis tilawah ini diadakan setiap tahun dan ia melambangkan komitmen pelbagai pihak dalam menerapkan budaya membaca al-Quran dan memahami intipati al-Quran. Sumber utama bagi umat Islam adalah al-Quran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Rasmi Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Saratok Tahun 2026 di Masjid Al-Muhtadin Saratok, pada Khamis.
Mohamad berkata, al-Quran bukan sekadar bahan bacaan, malah menjadi sumber rujukan utama yang membentuk cara fikir, nilai serta perkembangan ilmu dalam kehidupan manusia.
Majlis tersebut menghimpunkan seramai 18 peserta melibatkan lapan qari dan 10 qariah dari seluruh daerah Saratok.
Dalam pertandingan itu, Muhammad Haziq Hafiy Hassan dinobatkan sebagai johan kategori qari manakala Rosnani Junaidi menjuarai kategori qariah.
Kedua-dua mereka akan mewakili Saratok ke Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Betong.-EDISI UKAS