Festival Kebudayaan Kanowit Jadi Wadah Satukan Pelbagai Etnik
KANOWIT: Festival Kebudayaan Kanowit (KCF) 2026 yang julung kali dianjurkan di Tebingan Sungai Pekan Kanowit berpotensi menjadi platform penting dalam menghimpunkan masyarakat pelbagai etnik, agama dan bangsa dalam semangat perpaduan serta kebersamaan.
Menteri Perpaduan Negara yang juga Ahli Parlimen Kanowit, Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata, penganjuran festival yang bermula 1 Mei lalu itu mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk setempat.
Beliau berkata, program seumpama itu selari dengan aspirasi Kementerian Perpaduan Negara dalam memperkukuh hubungan masyarakat majmuk menerusi aktiviti yang melibatkan pelbagai lapisan komuniti.
“Bagi kita di Kementerian Perpaduan Negara, aktiviti seumpama ini sememangnya dialu-alukan kerana melalui program ini, kita dapat bersama-sama melibatkan pelbagai etnik, kumpulan, agama dan bangsa dalam satu gerakan.
“Kita tidak mempunyai masalah untuk bersama-sama kerana semua pihak dapat terlibat dalam pelbagai aktiviti yang dilaksanakan sepanjang dua minggu penganjuran ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian festival berkenaan pada Jumaat.
Selain menjadi medan penyatuan masyarakat berbilang kaum, Dato Sri Aaron turut berharap festival itu dapat dipromosikan secara meluas menerusi hebahan media.
Katanya, usaha tersebut berpotensi menjadikan KCF sebagai salah satu produk pelancongan yang mampu menarik kehadiran pelancong ke Sarawak, khususnya ke Kanowit.
Terdahulu, pada sebelah pagi berlangsung acara Niti Daun yang melibatkan 36 kontinjen daripada pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah serta komuniti setempat.
Dalam acara tersebut, kontinjen Pejabat Pendidikan Daerah Kanowit dinobatkan sebagai johan kontinjen terbaik, diikuti kontinjen Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kanowit di tempat kedua dan kontinjen Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit di tempat ketiga.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana, ADUN Machan Allan Siden Gramong, Pegawai Daerah Kanowit Cerisologo Sabut selaku pengerusi penganjur serta Temenggong Stanley Geramong Bandar.-EDISI UKAS