Projek Bekalan Air Wilayah Serian Fasa II Dijangka Siap April 2027
SERIAN: Projek Bekalan Air Wilayah Serian Fasa II yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak dengan kos kira-kira RM260 juta kini mencatat kemajuan fizikal yang memberangsangkan dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2027.
Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata projek berimpak tinggi itu merupakan antara inisiatif kerajaan dalam memperkukuh sistem bekalan air luar bandar serta meningkatkan liputan dan kebolehpercayaan bekalan air di Bahagian Serian.
Menurutnya, projek tersebut dilaksanakan menerusi dua kontrak utama yang kini menunjukkan perkembangan positif.
"Bagi Tahap 1, skop kerja melibatkan pembinaan tangki aras tinggi berkapasiti tiga juta liter di Jalan Melikin, pemasangan paip utama dari Loji Rawatan Air Slabi ke Jalan Melikin, penyambungan paip agihan serta pemasangan paip retikulasi dan paip komunikasi.
“Setakat ini, kemajuan fizikal projek telah mencapai 77 peratus,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Bekalan Air Wilayah Serian Fasa II di kawasan Tangki Sabal dan Tangki Aras Tinggi Jalan Melikin, pada Selasa.
Beliau berkata Tahap 2 pula merangkumi pembinaan tangki takungan air berkapasiti 1.8 juta liter, pembinaan stesen pam penggalak, pemasangan paip utama dari Simpang Jalan Melikin hingga ke Simpang Jalan Samalatong serta pemasangan paip agihan, paip retikulasi dan paip komunikasi.
Katanya, kemajuan fizikal bagi kontrak Tahap 2 kini telah mencapai 74 peratus.
Apabila siap kelak ujarnya, projek tersebut dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1,800 isi rumah di 76 kampung di Bahagian Serian yang sebelum ini tidak mempunyai akses kepada bekalan air bersih yang selamat dan berterusan.
Dato Sri Julaihi menegaskan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak akan terus memastikan semua projek bekalan air yang sedang dilaksanakan dapat disiapkan mengikut jadual bagi menjamin kelestarian bekalan air serta meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
“Kerajaan Sarawak sentiasa komited untuk menyediakan infrastruktur utiliti yang berkualiti dan mampan demi memenuhi keperluan rakyat serta menyokong pembangunan sosioekonomi negeri,” katanya.
Jelas beliau, lawatan kerja tersebut turut memberi peluang kepada pihak kementerian dan agensi pelaksana untuk menilai kemajuan semasa projek serta mengenal pasti langkah-langkah yang perlu bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut sasaran. -EDISI UKAS