Pembangunan Kawasan Stumbin Terus Diberi Perhatian
LINGGA: Kawasan Stumbin akan terus diberi perhatian menerusi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan secara berfasa bagi meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata beberapa kawasan di Stumbin khususnya Tanjung Bijat, masih memerlukan penambahbaikan dan akan terus dipertimbangkan mengikut keutamaan serta kemampuan peruntukan semasa.
“Antara projek pembangunan yang turut diketengahkan ialah pelaksanaan projek crossover di kawasan Gran Stumbin, selain projek pembinaan culvert bagi meningkatkan sistem perhubungan dan kemudahan asas penduduk,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Gawai Dayak Daerah Lingga 2026 yang berlangsung di Dewan Nangkai, Stumbin pada Selasa.
Dayang Noorazah memaklumkan, penduduk di kawasan Lingga boleh mengemukakan cadangan projek pembangunan melalui Pejabat Daerah untuk dipertimbangkan dan dilaksanakan secara berperingkat.
Tambahnya, sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkatkan kemudahan awam, kerajaan turut merancang projek melebarkan jalan akses ke tanah perkuburan di Bukit Munggu dan Bukit Skirau menerusi peruntukan Wisma SADA bagi memudahkan urusan masyarakat.
Pada majlis sama, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi pelaksanaan projek pembinaan chapel yang dijadualkan dilaksanakan pada tahun hadapan sebagai usaha menyokong keperluan komuniti setempat. -EDISI UKAS