Keselamatan Sekolah Terus Diperkasa Bagi Elak Insiden Tidak Diingini
DARO: Usaha memperkukuh aspek keselamatan di sekolah termasuk pemeriksaan sistem pendawaian elektrik perlu terus dipertingkatkan bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif kepada pelajar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, insiden renjatan elektrik yang mengorbankan seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di sini perlu dijadikan peringatan penting kepada semua pihak untuk menilai dan menambah baik tahap keselamatan di institusi pendidikan.
“Kita berasa sedih dan berdukacita atas kejadian ini serta merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Tiada sesiapa yang menginginkan perkara seperti ini berlaku.
“Namun, selepas kejadian ini, kita perlu bermuhasabah dan melihat langkah yang boleh diambil bagi memastikan tragedi sama tidak berulang,” katanya ketika mengulas insiden berkenaan.
Menurut Dr. Safiee, satu siasatan menyeluruh dijangka akan dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama agensi berkaitan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian berkenaan.
Beliau menjelaskan, antara langkah segera yang perlu diberi perhatian ialah pemeriksaan menyeluruh terhadap sistem pendawaian elektrik di sekolah berkenaan termasuk kemungkinan keperluan pembaharuan infrastruktur memandangkan usia bangunan yang telah lama digunakan.
Tambah beliau, pemeriksaan juga perlu melibatkan pendawaian tambahan yang mungkin dipasang tanpa mengikut spesifikasi keselamatan atau tidak dilakukan oleh pihak yang mempunyai kepakaran dan kelayakan sewajarnya.
“Tragedi ini boleh menjadi titik tolak untuk melakukan penilaian lebih menyeluruh terhadap aspek keselamatan elektrik bukan sahaja di sekolah ini, malah di sekolah-sekolah lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa sekolah berstruktur kayu dan bangunan lama mempunyai risiko lebih tinggi berdepan masalah pendawaian usang, justeru aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan atau dikompromi atas faktor kos.
Selain sistem elektrik, Safiee turut mencadangkan agar kemudahan asas lain termasuk sistem paip di kawasan sekolah diteliti semula dengan mempertimbangkan penggunaan bahan yang lebih selamat bagi mengurangkan risiko pengaliran elektrik.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan keselamatan dan latihan kecemasan kepada pelajar, khususnya penghuni asrama, termasuk pendedahan mengenai cara membantu mangsa renjatan elektrik secara selamat dan betul.
Pada masa sama, beliau berharap pihak sekolah dapat menyediakan sokongan kaunseling kepada keluarga mangsa serta individu yang terkesan susulan tragedi berkenaan.-EDISI UKAS