Pemeriksaan Sistem Pendawaian Elektrik Sekolah Pedalaman Perlu Dilaksana Segera
DARO: Pemeriksaan menyeluruh terhadap sistem pendawaian elektrik di sekolah khususnya di kawasan pedalaman perlu dilaksanakan segera susulan insiden renjatan elektrik yang meragut nyawa seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Daro.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, tragedi tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana sekolah seharusnya menjadi tempat yang selamat buat pelajar serta warga pendidik.
Menurut beliau, perbincangan telah diadakan bersama Pegawai Pendidikan Daerah Daro berhubung langkah susulan bagi memastikan kejadian sama dapat dielakkan pada masa hadapan.
“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Sarawak Energy Berhad juga telah dimaklumkan dan sedang mengambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika mengulas insiden berkenaan.
Sehubungan itu, Ahmad Johnie menegaskan pemeriksaan berkala terhadap sistem pendawaian elektrik yang usang serta peralatan keselamatan kebakaran perlu dilaksanakan secara konsisten di semua sekolah.
Ujarnya, pihak sekolah juga disaran mendapatkan bantuan teknikal daripada agensi berkaitan bagi menjalankan kerja pemeriksaan serta penyelenggaraan demi menjamin keselamatan pelajar dan kakitangan sekolah.
Dalam pada itu, beliau berkata insiden tersebut turut memberi gambaran bahawa isu sekolah daif di Sarawak bukan sahaja melibatkan struktur bangunan lama, malah merangkumi kemudahan asas seperti sistem pendawaian elektrik yang memerlukan perhatian serius.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.-EDISI UKAS