STEM Kunci Masa Depan Dalam Ekonomi Sarawak Berteraskan Teknologi
KUCHING: Bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kini menjadi laluan penting untuk melonjakkan penyertaan anak Dayak dalam sektor ekonomi berteknologi tinggi selaras agenda pembangunan Sarawak yang memberi fokus kepada hidrogen, tenaga hijau dan inovasi masa depan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penguasaan STEM amat penting memandangkan hala tuju pembangunan negeri kini semakin tertumpu kepada industri berasaskan sains dan teknologi.
Menurut beliau, Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga mahir tempatan dalam bidang profesional dan teknikal bagi menyokong pertumbuhan ekonomi masa depan.
“Kalau mahu melihat kita maju dengan cepat, itulah satu-satunya jalan iaitu memberi perhatian serius terhadap pendidikan STEM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Rasmi Perhimpunan Agung Tiga Tahunan Ke-11 Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) serta Majlis Makan Malam Muhibah DBNA di Dewan Serbaguna DBNA pada Jumaat.
Tambah beliau, walaupun terdapat sasaran 60 peratus pelajar dalam aliran STEM menjelang 2030, jumlah penyertaan pelajar khususnya daripada komuniti luar bandar dalam bidang tersebut masih belum mencapai tahap memuaskan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan pendidikan STEM tidak hanya tertumpu kepada pengajian universiti semata-mata, sebaliknya turut merangkumi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini semakin penting dalam pasaran pekerjaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa ibu bapa serta masyarakat supaya menggalakkan lebih ramai anak muda menceburi bidang STEM dan teknikal demi memastikan generasi akan datang mampu bersaing dalam ekonomi berasaskan teknologi.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri Pengangkutan (Laut dan Sungai) Datuk Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komuniti dan Pembangunan Wilayah Datuk Martin Ben, Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin, Presiden DBNA Datuk Ik Pahon Joyik serta tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS