Sarawak Rancang Tubuh Sekolah Veterinar Pertama Di Borneo
KUCHING: Sarawak merancang menubuhkan sekolah veterinar pertama di Borneo sebagai langkah strategik memperkukuh pembangunan industri ternakan negeri sekali gus melahirkan lebih ramai tenaga pakar veterinar tempatan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, institusi tersebut dicadangkan diwujudkan menerusi kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) berhampiran Semenggoh.
Menurut beliau, ketika ini Malaysia hanya mempunyai dua sekolah veterinar menyebabkan keperluan tenaga pakar dalam bidang berkenaan masih belum mencukupi.
“Kita mahu memulakan sekolah veterinar sendiri di Sarawak kerana di Borneo juga tiada sekolah veterinar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perasmian Perhimpunan Agung Tiga Tahunan Ke-11 Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) serta Majlis Makan Malam Muhibah DBNA di Dewan Serbaguna DBNA pada Jumaat.
Tambah beliau, penubuhan institusi tersebut penting bagi menyokong agenda pembangunan industri ternakan Sarawak yang dilihat berpotensi menjadi antara sumber ekonomi utama negeri pada masa hadapan.
"Sekolah veterinar itu akan dilengkapi hospital haiwan serta kemudahan latihan lengkap bagi melahirkan lebih ramai doktor veterinar tempatan yang berkemahiran tinggi," jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata kekurangan doktor veterinar ketika ini menyebabkan banyak klinik haiwan terpaksa mendapatkan tenaga kerja luar negara termasuk dari Indonesia.
Justeru, beliau berharap penubuhan sekolah veterinar tersebut mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan tempatan selain memperkukuh ekosistem industri veterinar dan ternakan di Sarawak.-EDISI UKAS