KUCHING: Dakwaan kononnya kerajaan tidak serius menangani isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak adalah tidak berasas memandangkan hampir 95 peratus permohonan tanah NCR kini sedang diproses termasuk sebahagiannya telah menerima geran hak milik.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan isu tanah NCR malah proses pengukuran dan pengesahan hak milik terus dilaksanakan secara berterusan.
“Jangan mudah terpengaruh dengan dakwaan berunsur politik yang mengatakan kerajaan tidak mahu mengukur tanah NCR kerana kita sendiri berasal daripada komuniti NCR,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Perhimpunan Agung Tiga Tahunan Ke-11 Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) serta Majlis Makan Malam Muhibah DBNA di Dewan Serbaguna DBNA pada Jumaat.
Menurut beliau, masih terdapat beberapa kampung yang belum mengemukakan permohonan tanah NCR walaupun mempunyai ramai penduduk yang layak selain turut menerima bantuan kewangan daripada wakil rakyat.
Katanya, keadaan tersebut berlaku disebabkan kurangnya inisiatif serta tindakan susulan dalam kalangan pemimpin komuniti sendiri untuk menguruskan permohonan berkaitan.
Sehubungan itu, beliau menggesa setiap kampung agar lebih proaktif dalam mengurus serta memohon pengiktirafan tanah NCR bagi memastikan hak pemilikan tanah dapat dipelihara demi kepentingan generasi akan datang.-EDISI UKAS