ASAJAYA: Program BeliaGoBiz Samarahan@Asajaya 2026 terus memperkukuh peranannya sebagai platform utama dalam memperkasa pembangunan dan potensi usahawan belia menerusi pelbagai aktiviti keusahawanan yang berlangsung di Dataran Parking Kompleks Sukan Asajaya pada Jumaat.
Program anjuran Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) itu bertujuan menyediakan ruang pendedahan serta akses pasaran lebih luas kepada ahli Majlis Pembangunan Usahawan Belia (MPUB) khususnya di kawasan Samarahan dan Asajaya.
Menerusi program tersebut, golongan belia bukan sahaja berpeluang mempromosikan produk secara terus kepada pelanggan, malah dapat membina rangkaian perniagaan yang mampan dalam ekosistem keusahawanan tempatan.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai gerai jualan disediakan melibatkan sektor makanan dan minuman, kraftangan, kosmetik serta produk hiliran.
Penglibatan aktif usahawan belia di bawah MPUB mencerminkan kesungguhan generasi muda dalam menyahut usaha kerajaan untuk merancakkan ekonomi komuniti luar bandar melalui aktiviti perniagaan kreatif dan inovatif.
Program itu turut menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung terutama pada sebelah malam sekali gus memberi impak positif terhadap jualan para peniaga.
Selain aktiviti keusahawanan, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai pengisian sampingan seperti sukan rakyat, pameran agensi kerajaan serta pendedahan berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan ekonomi digital bagi membantu usahawan belia mendepani cabaran ekonomi semasa. -EDISI UKAS