Kecemerlangan Prestasi, Integriti Saling Melengkapi Bentuk Tadbir Urus Telus
SRI AMAN: kecemerlangan prestasi dalam perkhidmatan awam tidak boleh dipisahkan daripada nilai integriti kerana kedua-duanya saling melengkapi dalam membentuk tadbir urus yang baik, telus dan berkesan.
Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh berkata, kedua-dua elemen tersebut saling melengkapi dalam memastikan sistem pentadbiran kerajaan sentiasa dipercayai.
"Integriti perlu diterapkan dalam setiap tindakan, keputusan dan amanah yang dipikul oleh penjawat awam bagi memastikan kepercayaan masyarakat terhadap institusi kerajaan terus terpelihara serta mengelakkan berlakunya salah guna kuasa, ketirisan dan penyalahgunaan kedudukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Hari Integriti Pentadbiran Bahagian Sri Aman 2026 di Dewan Suarah Sri Aman pada Jumaat.
Program bertemakan “Building High Performing and High Integrity Culture” itu disertai seramai 166 peserta daripada seluruh Pentadbiran Bahagian Sri Aman.
Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian antaranya Peak Performers, Culture Champions, Integrity Driven Organisation, High Performance Team dan Mindset Shift yang memberi fokus kepada pembentukan budaya kerja cemerlang serta berintegriti.
Selain itu, program tersebut turut menekankan aspek komunikasi berkesan, kerja berpasukan dan pembangunan kepimpinan bagi melahirkan warga kerja yang profesional, berdaya saing dan mempunyai semangat kerjasama tinggi.
Majlis turut diserikan dengan bacaan ikrar integriti, tayangan video pemenang pertandingan video pendek bertemakan integriti serta penyampaian hadiah dan cenderahati. -EDISI UKAS